Bandar Enstek, Nilai Negeri Sembilan, 05 Februari 2018 - Malaysia Halal Analysis Centre (MyHAC) mencipta sejarah yang tersendiri apabila telah menerima lawatan dari YB Dato’ Seri Hamzah Bin Zainudin, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK). Turut bersama dalam lawatan ini YB Dato’ Henry Sum Agong Timbalan Menteri KPDNKK, YBhg. Dato' Sri Jamil Bin Salleh Ketua Setiausaha KPDNKK, YBhg. Dato' Basaruddin Bin Sadali Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK serta beberapa Pengarah Kanan Bahagian KPDNKK.
Ketibaan YB Dato’ Seri Hamzah Bin Zainudin serta delegasi KPDNKK ini telah disambut oleh YB Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir Bin Hj. Baharom (B) Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YBhg. Tan Sri Dato' Haji Othman Bin Mustapha Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Datuk Haji Mohamad Nordin Bin Ibrahim Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM, YBrs. Encik Masri Bin Razali Pengarah Kanan (Pengurusan) JAKIM serta YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Bin Suhaimee Pengarah Bahagian Hab Halal JAKIM.
Program lawatan YB Menteri KPDNKK ke Makmal Halal Analysis Centre (MyHAC) adalah bertujuan untuk mendapatkan pendedahan dengan lebih dekat mengenai proses kerja pengujian dan analisis sampel barangan bagi menentusahkan kandungan yang tidak halal semasa proses permohonan Pensijilan Halal Malaysia. Selain itu, ia juga bertujuan untuk meneliti isu-isu Pensijilan Halal Malaysia di samping mengukuhkan kerjasama antara dua agensi kerajaan.
Taklimat berkaitan Pensijilan Halal Malaysia serta fungsi MyHAC telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Bin Suhaimee Pengarah Bahagian Hab Halal JAKIM. Sejurus selepas taklimat, YB Menteri KPDNKK beserta delegasi telah dibawa melawat ke makmal analisis iaitu Makmal Kimia (Alkohol, Kulit & Bulu, Protein & Gelatin, Lemak & Minyak) dan Makmal Bioteknologi (Pengspesisan Daging, Genetically Modified Organism (GMO)).