Kurator Berita : Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti
Kota Bharu, KELANTAN, 09 Oktober 2021: - Bermula 9 hingga 11 Oktober 2021, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama rakan strategik dari Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK), Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Yayasan Ihtimam Malaysia (YIM) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) telah menganjurkan Program Outreach Rakan Setia Komuniti Pengkalan Chepa, Kelantan.

Program ini dimulakan dengan sesi taklimat oleh Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM dan Tn. Muhammad Che Ismail AADK Kota Bharu kepada Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Datuk Ahmad Marzuk Syaari yang diadakan di JAHEIK. Bersama dalam taklimat ini YB Dato’ Abdul Fattah Mahmood Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan merangkap Naib Yang Dipertua PEMADAM Malaysia, Datuk Abdul Aziz Jusoh Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Muhamad Sade Mohamad Amin Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK Malaysia, Dato’ Razali Shahabuddin Pengerusi Yayasan Ihtimam Malaysia YIM, Prof. Madya Dr. Amir Shaharuddin Ketua Pegawai Eksekutif YWM.

Turut serta dalam taklimat ini juga Tn. Hj. Mohd Norizan Abd Ghani Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM, Tn. Zainuddin Abdullah Pengarah Bahagian Pencegahan AADK Malaysia, Tn. Mohd Fadzuli Mohd Zain KPP Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAHEIK, Pn. Rahayu Ahmad Pengarah AADK Negeri Kelantan dan wakil-wakil dari Yayasan Taqwa MAIWP dan PEMADAM Negeri Kelantan.

Program seterusnya disusuli dengan outreach YB Datuk Ahmad Marzuk Syaari dan isteri Datin Pengiran Siti Radziah Pengirang Abdullah dengan diiringi rakan-rakan strategik JAKIM meluangkan masa turun menziarahi dan menyantuni klien AADK Pengkalan Chepa. Program yang berlangsung selama 3 hari dan dibahagikan kepada 3 kumpulan kecil dengan penglibatan pegawai-pegawai dari JAKIM, AADK, JAHEIK, PEMADAM dan YIM turun menyantuni klien AADK dengan memberikan bimbingan nasihat keagamaan, kaunseling syarie dan disusuli dengan sumbangan keperluan harian.

Penganjuran program ini amat bertepatan dengan Inisiatif Mantap yang telah dibentangkan oleh YB Senator Tuan Haji Idris Ahmad Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di bawah PIAGAM C-19 melalui Inisiatif ketiga (3) iaitu Pemantapan Institusi Kekeluargaan, Sosial dan Komuniti Islam. Ia juga selaras dengan prinsip Maqasid Syariah yang bertujuan memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Objektif program outreach (temu seru) klien AADK ini bertujuan memberi penerangan, kefahaman, penghayatan serta merungkai permasalahan semasa isu-isu keagamaan, kekeluargaan, masa depan dan hala tuju hidup mereka, memupuk semangat kerjasama, toleransi, mempunyai keyakinan yang tinggi dalam melahirkan idea yang bernas bagi membina generasi yang inovatif, beriman lagi bertaqwa. Seterusnya mendapatkan maklumbalas jenis bantuan rawatan, bimbingan dan pemulihan yang diperlukan oleh klien bagi mengeluarkan mereka dari cengkaman najis dadah.


Program Outreach Rakan Komuniti Pengkalan Chepa Kelantan 1


Program Outreach Rakan Komuniti Pengkalan Chepa Kelantan 2


Program Outreach Rakan Komuniti Pengkalan Chepa Kelantan 3


Program Outreach Rakan Komuniti Pengkalan Chepa Kelantan 4


Program Outreach Rakan Komuniti Pengkalan Chepa Kelantan 5


Program Outreach Rakan Komuniti Pengkalan Chepa Kelantan 6


Program Outreach Rakan Komuniti Pengkalan Chepa Kelantan 7