Kurator Berita : Bahagian Dakwah
JAKIM Putrajaya, 21 Oktober 2021 - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melalui Bahagian DAKWAH telah mengadakan slot Bicara Ramah : Kepentingan Spiritualiti dalam kesihatan pada hari Rabu bertarikh 20 Oktober 2021, jam 10.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari melalui platform Live Steamyard di Facebook Bahagian Dakwah.

Program ini diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat tentang kepentingan penjagaan spiritual dalam kesihatan mental dan fizikal manusia lebih-lebih lagi dalam era pandemik covid-19 yang sedang melanda negara dan dunia. Penjelasan mengenai penjagaan spiritualiti dalam kesihatan ini telah dibahaskan oleh penceramah yang pakar dalam bidang spiritualiti dan kesihatan iaitu Dr. Ahmad Fahmi bin Md Sahray, Ketua Unit Spiritualiti dan Kesihatan, Hospital Sungai Buloh. Moderator slot ini ialah Encik Hasrul Hisham bin Suhaimee daripada Politeknik Sultan Idris Shah.

Sesuai dengan keadaan semasa pandemik Covid-19, Dr. Ahmad Fahmi berkongsi mengenai spiritualiti punca utama kepada tingkah laku normal dan abnormal yang mana punca dalaman menentukan tingkah laku seseorang. Kecerdasan spiritual mendatangkan manfaat dan kebaikan bagi menjamin kesejahteraan kesihatan rohani dan jasmani setiap individu. Masyarakat awam dinasihatkan agar mencari jalan untuk mengukuhkan diri dengan perkara-perkara yang positif dan memberi manfaat kepada diri sendiri seterusnya manfaat kepada orang di sekeliling kita.

Beliau juga menjelaskan fungsi spiritual dalam menangani isu masyarakat ketika pandemik yang mana jika seseorang tidak menangani tekanan dengan sewajarnya dalam jangka masa yang panjang, ia boleh mengganggu pekerjaan, kehidupan, keluarga dan kesihatan. Walaupun stres bukan pembunuh utama manusia, namun perlu diingat ia adalah antara penyumbang utama kepada masalah jantung yang sehingga kini kekal di tangga teratas sebagai penyebab kematian di Malaysia.

Beliau menegaskan lagi khususnya kepada masyarakat Islam agar dapat mewujudkan perasaan mempunyai Tuhan yg maha besar ketika menghadapi masalah. Memandang musibah sebagai hikmah daripada Allah dan meyakini bahawa Allah akan menggantikannya dengan lebih baik.

Rumusannya, kecerdasan spiritual ini perlu melalui terapi psikospiritual Islam di mana mereka akan dibimbing mengikut kaedah pembersihan jiwa (tazkiyah al-nafs) yang berhubung rapat dengan pemurnian minda, hati dan jiwa. Memperkukuhkan tauhid diri kepada Allah SWT secara suci murni dengan mempertaruhkan segala harapan sepenuh kepada-Nya adalah perkara utama.

Di samping itu sokongan psikososial juga sentiasa ada untuk masyarakat seperti Talian sokongan psikososial dengan kerjasama KKM dan Mercy Malaysia ketika bermulanya pandemik COVID-19 juga merupakan salah satu cara bagi membolehkan orang ramai mendapatkan akses yang lebih mudah untuk mendapatkan bantuan berkenaan isu kesihatan. Bilik gerakan talian MyCareCov19 yang ditubuhkan di Jakim dengan kerjasama Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan, KSKCareCentre membantu ribuan kes bagi khidmat nasihat dan bimbingan berkenaan isu kekeluargaan, kerohanian dan tekanan emosi.

Semoga slot ini berjaya mencapai matlamatnya dan dapat memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat dalam menerukskan kehidupan normal baharu era Pandemik Covid-19.

Bicara Ramah Kepentingan Spiritualiti Dalam Kesihatan 1

Bicara Ramah Kepentingan Spiritualiti Dalam Kesihatan 2

Bicara Ramah Kepentingan Spiritualiti Dalam Kesihatan 3