Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)
Bangi, 29 Oktober - Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Kluster Kecemerlangan Kepemimpinan Islam (KKKI) telah mengadakan Kursus Analisis Data kepada Pegawai-Pegawai Hal Ehwal Islam (PHEI) JAKIM, Kader JAKIM, MAIN, JAIN, agensi di bawah YB Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) dan penjawat awam pelbagai skim (Gred 29 dan ke atas).

Kursus yang diadakan selama dua (2) hari ini antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pegawai berkaitan perisian terkini dalam dunia penyelidikan serta cara untuk menganalisis data menggunakan komputer. Selain itu, kursus ini juga bertujuan bagi memberi tunjuk ajar mengenai kaedah membanding dan menguji teori dari konsep atau data yang diperoleh.

Kursus Analisis Data ini dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Hutkemri Zulnaidi, yang merupakan seorang Pensyarah Kanan di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM). Sehingga tahun 2021, beliau telah menerbitkan sebanyak 37 artikel dan jurnal berindeks ISI dan SCOPUS. Beliau juga pernah dinobatkan sebagai penulis dan pelajar terbaik daripada Gabenor Riau, Indonesia serta pernah mendapat anugerah emas dalam beberapa pertandingan inovasi pengajaran. Kepakaran beliau adalah dalam bidang analisis data seperti menggunakan perisian SPSS, AMOS, SmartPLS, dan ANATES4 serta berpengalaman sebagai Penyelidik Pasca Doktoral dan Penyelidik Pelawat di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sepanjang dua hari kursus dijalankan, beliau berkongsi secara terperinci berkaitan Pengenalan Statistik Deskriptif, Pengenalan Statistik Inferensi, Pengenalan terhadap Perisian AMOS dan Pengujian Model menggunakan Perisian AMOS. Seramai 55 orang peserta telah menyertai kursus ini secara dalam talian menerusi pautan google meet yang disediakan oleh pihak ILIM.

Semoga kursus ini berjaya memberi pendedahan dan kemahiran menyeluruh kepada para peserta khususnya dalam aspek kemahiran analisis data kuantitatif dengan penguasaan kaedah yang betul dan tepat.

Kursus Analisis Data 2021 1

Sumber berita dari Laman Web ILIM : https://ilim.islam.gov.my/ms/berita/903-kursus-analisis-data-2021