Kurator Berita : Unit Komunikasi Korporat
KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Al-Musta’in Billah berkenan berangkat menghadiri Majlis Munaqasyah Pengurusan Hal Ehwal Islam Negeri-Negeri Di Bawah Naungan Yang di-Pertuan Agong kali ke-4 di Istana Negara,Kuala Lumpur pada 9 November 2021.

Pengurusan Tertinggi JAKIM diketuai oleh YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) mempersembah maklum laporan Munaqasyah siri ke-3 kepada SPB Tuanku di bilik Seri Menanti Istana Negara. Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah ke majlis itu pada jam 10 pagi disambut oleh barisan kepimpinan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ketua-Ketua Hakim Syarie, SS Mufti, Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri di bawah naungan Seri Paduka Tuanku yang terdiri daripada Negeri Pahang, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Majlis Munaqasyah ini dianjurkan atas inisiatif dan cetusan idea Seri Paduka Baginda dengan tujuan utama bagi membincang dan memperhalusi isu hal ehwal Islam di negeri-negeri di bawah naungan Baginda serta memantapkan agensi agama di setiap negeri berkenaan. Manakala JAKIM bersama Istana Negara bertindak sebagai urus setia Bersama.

Majlis pada kali ini adalah kali keempat seumpamanya dianjurkan dengan kali pertama diadakan pada 20 Jun 2019, kedua pada 7 Oktober 2019 dan ketiga pada 6 Februari tahun lepas. Oleh kerana negara dalam tempoh perintah kawalan pergerakan, Munaqasyah terpaksa ditangguhkan daripada jadual asal yang dicadangkan 3 kali setahun.

Terdapat enam kertas kerja yang dipersembahkan kepada Seri Paduka Tuanku iaitu 4 kertas cadangan dan 2 kertas taklimat. JAKIM membentangkan 1 kertas cadangan bertajuk ‘Pengawalan Aliran Pemikiran Liberal & Pengukuhan Pegangan Agama dalam Kalangan Masyarakat Muslim Bandar’ dan kertas taklimat ‘Pengubalan Akta Profesion Guaman Syarie bagi Pemakaian di Wilayah-Wilayah Persekutuan’. Rumusan daripada pembentangan kertas-kertas kerja itu akan dikemukakan oleh Seri Paduka Tuanku ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-257 yang dijadualkan berlangsung pada 24 dan 25 November 2021.

Hasil daripada pembentangan tersebut, sebanyak 6 resolusi telah dipersetujui oleh para peserta dan akan diperhalusi di peringkat negeri dan akan disembah maklum pencapaiannya kepada Seri Paduka Tuanku.


Majlis Munaqasyah Istana Negara 1

Majlis Munaqasyah Istana Negara 2

Majlis Munaqasyah Istana Negara 3

Majlis Munaqasyah Istana Negara 4

Majlis Munaqasyah Istana Negara 5

Majlis Munaqasyah Istana Negara 6

Majlis Munaqasyah Istana Negara 7

Majlis Munaqasyah Istana Negara 8

Majlis Munaqasyah Istana Negara 9

Majlis Munaqasyah Istana Negara 10

Majlis Munaqasyah Istana Negara 11

Majlis Munaqasyah Istana Negara 12

Majlis Munaqasyah Istana Negara 13