Kurator Berita : Darul Quran
23 November 2021 - Program Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran & Sunnah dengan Kepujian secara kerjasama dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Darul Quran telah dipilih untuk menjalani Lawatan Penilaian Secara MQA Virtual Audit (MQAVA). Lawatan audit ini telah dilaksanakan oleh panel penilai yang dilantik oleh pihak MQA iaitu Dr. Mohd Faizal Abdul Khir dari Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan Encik Mohamad Asyraf Faris Abdol Aziz, pegawai dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Penilaian pematuhan ini dilaksanakan bagi memastikan pelaksanaan program ini memenuhi standard akreditasi yang ditetapkan.

Antara maklum balas yang diberikan oleh panel penilaian adalah program ini merupakan satu program yang baik serta menampakkan hubungan kerjasama yang baik antara USIM dan Darul Quran JAKIM. Selain itu, DQ juga mampu melaksanakan program ini dengan baik hasil daripada maklum balas yang amat positif daripada para pelajar serta alumni. Kemudahan prasarana yang disediakan juga setanding dengan pusat pengajian tinggi yang lain malah lebih baik seperti Makmal Braille.

Walau bagaimanapun, beberapa penambahbaikan perlu dibuat oleh DQ dan juga USIM bagi memastikan kelangsungan program ini terus berdaya maju dalam usaha melahirkan modal insan yang mampu memberi sumbangan kepada pembangunan negara. Turut hadir dalam sesi audit secara maya ini ialah Pengurusan Tertinggi DQ serta wakil pegawai dari Bahagian Dasar Kemajuan Islam JAKIM.

Lawatan Penilaian Pematuhan Akreditasi Penuh Program Ijazah USIM DQ