Kurator Berita : Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti
NEGERI SEMBILAN, 17 – 19 Mac 2023 : JAKIM melalui Unit Bimbingan Klien Dadah, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti telah mengadakan Program Rakan Setia Komuniti Klien Dadah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Jelebu, Negeri Sembilan mulai 17 – 19 Mac 2023 (Jumaat – Ahad) yang lalu. Penganjuran program pada kali ini telah mendapat kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Kebangsaan dan syarikat QSR Brands (M) Holdings Berhad.

Pelaksanaan program ini adalah bermatlamatkan untuk menyantuni dan memberi sokongan moral, motivasi serta bimbingan fardhu ain dan kerohanian kepada klien AADK Negeri Sembilan yang sedang menjalani proses pemulihan dalam komuniti. Seramai 45 orang peserta klien AADK dari seluruh Negeri Sembilan telah hadir mengikuti program yang berlangsung selama 3 hari 2 malam ini.

Pengisian program ini dilaksanakan secara interaktif antara fasilitator bersama klien-klien bermula dengan slot “Kenali Diri”, “Potensi Dan Kekuatan Diri”, “Saya Dan Ibadah”, Qiamullail dan “Muhasabah Diri”, slot Terapi Solat dan Zikir oleh Dr. Syukri bin Zainal Abidin dari Universiti Malaysia, slot “Rawatan dan Pemulihan” oleh AADK Jelebu dan slot terakhir “Rawatan Diri Melalui Ilaj Syarie” oleh Ust. Halim bin Zakaria fasilitator KSKCareCentre JAKIM.

Kemuncak program adalah majlis penutup dan penyampaian sijil penyertaan, hamper untuk kumpulan dan peserta terbaik dan sumbangan bantuan barangan keperluan asas dapur kepada setiap klien yang hadir yang telah disediakan oleh pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Program Rakan Setia Komuniti Klien AADK N9 1

Program Rakan Setia Komuniti Klien AADK N9 2

Program Rakan Setia Komuniti Klien AADK N9 3