KUALA LUMPUR , 24 JUN 2023 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti dengan kerjasama Mercy Mission Malaysia (MMM) telah menganjurkan Program Kaunseling Syarie dan Usrah Interaktif Kumpulan Sisterhood. Program separuh hari ini dianjurkan buat kali pertama selepas Memorandum Persefahaman antara JAKIM dan Mercy Mission Malaysia ditandatangani pada 12 Mei 2023.
Objektif penganjuran program ini adalah sebagai platform untuk mendidik, membantu dan mendorong kaum wanita membangunkan diri serta dapat menangani ujian kehidupan melalui pendekatan kaunseling syarie dan psikospiritual Islam. Seramai 72 orang peserta telah mendaftar bagi mengikuti program ini selama 12 sesi pertemuan secara berkelompok yang akan dikendalikan oleh 12 orang Fasilitator KSKCareCentre JAKIM.
Sesi taklimat dan induksi bersama peserta telah diadakan pada 24 Jun 2023 di Madrasah Bustanul Ulum Taman Tugu Kuala Lumpur. Sesi taklimat dimulakan dengan ucapan aluan yang disampaikan oleh Puan A’azah Awang Kechik, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian KSK JAKIM dan diteruskan dengan taklimat penganjuran program merangkumi kaedah pelaksanaan serta panduan sepanjang mengikuti program telah disampaikan oleh Puan Kartine binti Baharudin wakil Mercy Mission.
Pertemuan kelompok pada hari ini, peserta berpeluang mendengar sesi perkongsian pengalaman dan suntikan motivasi bersama Dr. Atiyah Azmi dan perkongsian ilmu oleh Prof. (B) Dr. Zainab Ismail yang merupakan Kaunselor Syarie KSKCareCantre mengenai tajuk ‘Keberkesanan Diri”. Semoga dengan penganjuran program ini dapat meluaskan lagi pendekatan kaunseling syarie dan psikospiritual Islam untuk manfaat masyarakat Madani keseluruhannya.