Putrajaya - 11 Julai 2023, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Maqasid Syariah dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menganjurkan Program Libat Urus Maqasid Syariah Peringkat Kementerian bertempat di Dewan Serbaguna, Podium A, KBS, Putrajaya dengan tajuk Bicara Ilmu: Penghayatan Nilai-nilai Islam Dalam Membangun Insan Madani. Seramai 200 orang peserta yang telah menghadiri program ini. Objektif utama penganjuran program ini ialah untuk memantapkan kefahaman dan memberikan panduan mengenai kepentingan penghayatan nilai-nilai Islam berteraskan prinsip Maqasid Syariah dalam pembangunan diri dan impaknya kepada organisasi.
Slot forum dalam Program ini yang bertajuk Belia Teras Pemangkin Pembangunan Insan Madani telah dijayakan oleh dua orang ahli panel iaitu Encik Muhammad Faisal bin Abdul Aziz, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Dr. Mohd Izwan bin Md Yusof, Penolong Pengarah Kanan, JAKIM serta dikendalikan oleh moderator Ustaz Iszam bin Padil, Ketua Penolong Pengarah, JAKIM.
Perbincangan utama di dalam forum ini adalah mengenai kepentingan peranan belia dalam memberikan sumbangan kepada negara dan perlunya kerjasama semua pihak termasuk kerajaan dan masyarakat dalam memberikan fokus utama kepada pendidikan sepanjang masa melalui penghayatan nilai-nilai Islam bagi melahirkan belia negara yang cemerlang.