PORT DICKSON, 24-26 Mei 2024 – Tahniah diucapkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kerana julung-julung kalinya telah berjaya mengadakan Kursus Pascaperkahwinan Islam "Fasa Sehati Sejiwa" bertempat di Pusat Latihan RISDA (RISTEC), Port Dickson, Negeri Sembilan dengan penyertaan seramai 26 orang peserta (13 pasangan suami isteri).
Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh YBrs. Pn. Norazah binti Abdul Shukor, Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW). Turut diserikan lagi dengan ucapan alu-aluan daripada YBrs. Puan Hazizah binti Yusoff, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM.
Objektif program ini adalah untuk memperkukuh dan memantapkan hubungan suami isteri dengan nilai-nilai kekeluargaan agar dapat membentuk keluarga yang sakinah, mawaddah wa rahmah. Peserta juga diberikan panduan dan tips bagi mengatasi konflik di dalam rumah tangga dengan meningkatkan pelbagai kemahiran yang relevan untuk membangunkan keluarga Islam yang berakhlak mulia.
Sepanjang program ini, peserta diberikan pemantapan ilmu berkaitan Pengurusan Kesihatan Keluarga, Pengurusan Kewangan Keluarga, Motivasi dan Pengurusan Psikologi serta Ibadah dan Pengurusan Stres dalam Rumah Tangga berdasarkan Modul Pascaperkahwinan Islam, JAKIM. Terdapat juga Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dengan slot Kenali Diri, Masam-Masam Manis, Azam dan Aku Janji dalam program ini.
Syabas dan tahniah kepada semua peserta Kursus Pasca Perkahwinan Islam "Fasa Sehati Sejiwa" 2024. Semoga mahligai yang dibina kekal bahagia hingga ke syurga.