KOMPLEKS ISLAM PUTRAJAYA - 12 JULAI 2024: Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) JAKIM telah menerima lawatan dari Persatuan Insaf Murni Malaysia bagi mengadakan perbincangan mengenai masalah dadah dalam kalangan orang Melayu. Delegasi Persatuan Insaf Murni Malaysia diketuai oleh Dr. Hj. Mohd Khafidz Ishak Presiden Persatuan Insaf Murni Malaysia, Dato’ Dr. Rushidi Ramli mantan Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh Profesor Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Prof. Madya Dr. Rusdi Abd Rashid Pengarah Pusat Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS) dan disambut oleh Tn. Hj. Mohd Norizan Abd Ghani Pengarah Bahagian KSK dan Pn. Noor Haliza Ali Ketua Penolong Pengarah KSK.
Antara objektif lawatan ini adalah bagi membincangkan kerjasama dua hala bagi menangani permasalahan dadah yang semakin kronik dalam kalangan umat Islam di Malaysia dan bersetuju kaedah yang terbaik dalam membantu memulihkan penagihan dan penyalahgunaan dadah adalah melalui integrasi perubatan sains dan spiritual Islam dengan menjadikan masjid sebagai one stop centre pemulihan permasalahan sosial.
Bahagian ini akan terus memberikan komitmen dan komited ke arah mempelbagaikan program dan aktiviti pendidikan pencegahan dan pemulihan penagihan dadah serta bahan melalui pendekatan islamic spiritual bersama dengan rakan-rakan strategik bagi membantu kerajaan dalam usaha menangani dan membanteras gejala penagihan dan penyalahgunaan dadah serta bahan di Malaysia.







