KUALA LUMPUR, 16 JULAI 2024 – YBrs. Dr. Haji Ruslan bin Said, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengadakan Lawatan Kunjungan Hormat ke ‘Ilaj Home, Kuala Lumpur. Kunjungan ini turut disertai oleh Tuan Haji Mohd Norizan bin Abd Ghani, Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) JAKIM, Puan Noor Haliza binti Ali, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Pembangunan Sosial KSK JAKIM serta 3 orang pegawai KSK JAKIM.
Delegasi JAKIM diraikan oleh Tuan Haji Kamaldin bin Mohd Damin, Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bersama Puan Imlah binti Abdul Aziz, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI, Puan Suraiti binti Alias, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Penyelarasan dan Kebajikan Islam, Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI dan turut bersama pegawai dan kakitangan pengurusan ‘Ilaj Home.
Lawatan ini bertujuan untuk melihat perkembangan operasi ‘Ilaj Home yang menempatkan Orang Yang Hidup Dengan HIV/AIDS (ODHA/PLHIV) yang beragama Islam. Pengoperasian ‘Ilaj Home telah bermula pada November 2023 di bawah seliaan pihak JAWI. Pengisian 'Ilaj Home ini adalah berkonsepkan perkhidmatan bimbingan kerohanian serta psikospiritual kepada para penghuni berpandukan Manual Ilaj Home yang telah disediakan oleh pihak JAKIM. Kerjasama antara agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan perlu dipergiatkan bagi memastikan penghuni mendapat rawatan kesihatan secara holistik dan bimbingan kerohanian melalui pendekatan psikospiritual Islam.
Semoga hasil lawatan kunjung hormat ini akan meningkatkan lagi kaedah penyampaian perkhidmatan 'Ilaj Home kepada kumpulan sasar dengan lebih berkualiti.



















