Kurator Berita : Darul Quran
22 Julai 2024 - Majlis Menandatangani Nota Kerjasama antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam menganugerahkan Sijil Tahfiz KPM telah berlangsung dengan jayanya di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 6, Blok E8, Kompleks E, Putrajaya. Nota Kerjasama ini diperbaharui setelah tamat tempoh kerjasama yang terdahulu. Selepas lima tahun, terdapat keperluan untuk menambah baik dan memperjelaskan lagi peranan serta tanggungjawab kedua-dua pihak.

Di pihak JAKIM, Nota Kerjasama ini ditandatangani oleh Ketua Pengarah JAKIM, Datin Paduka Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff dan disaksikan oleh Pengarah Darul Quran, Haji Mohd Ansarullah bin Mohd Hashim. Manakala di pihak KPM, ia ditandatangani oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Tuan Haji Azman bin Adnan dan disaksikan oleh Encik Basri bin Hassan, Timbalan Pengarah Peperiksaan Kanan.

Kerjasama pertama antara kedua-dua agensi ini dimeterai di bangunan Parlimen pada 19 November 2018. Bermula dengan hanya tiga sekolah, kini sebanyak 46 buah sekolah telah mengimplementasikan Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT). Peningkatan ini menunjukkan sambutan baik daripada pelbagai jenis sekolah seperti Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan sekolah-sekolah swasta.

Penganugerahan Sijil Tahfiz KPM merupakan nilai tambah yang mengiktiraf pelajar yang berjaya menguasai hafazan dan ilmu-ilmu al-Quran di peringkat menengah. Ini selaras dengan matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang menekankan pengukuhan laluan pendidikan agama. Lebih membanggakan, beberapa sekolah tahfiz di bawah SABK telah tersenarai dalam 20 sekolah terbaik pencapaian SPM tahun 2023.

Nota: Kerjasama yang baru ini diharapkan dapat memantapkan lagi kolaborasi sedia ada. Semoga usaha murni ini akan terus mencapai matlamat yang diinginkan demi kesejahteraan ummah dan pembangunan negara.


KERJASAMA LEMBAGA PEPERIKSAAN KPM DAN DARUL QURAN JAKIM DITERUSKAN 01

KERJASAMA LEMBAGA PEPERIKSAAN KPM DAN DARUL QURAN JAKIM DITERUSKAN 02

KERJASAMA LEMBAGA PEPERIKSAAN KPM DAN DARUL QURAN JAKIM DITERUSKAN 03

KERJASAMA LEMBAGA PEPERIKSAAN KPM DAN DARUL QURAN JAKIM DITERUSKAN 04

KERJASAMA LEMBAGA PEPERIKSAAN KPM DAN DARUL QURAN JAKIM DITERUSKAN 05

KERJASAMA LEMBAGA PEPERIKSAAN KPM DAN DARUL QURAN JAKIM DITERUSKAN 06

KERJASAMA LEMBAGA PEPERIKSAAN KPM DAN DARUL QURAN JAKIM DITERUSKAN 08