PUTRAJAYA, 30 - 31 JULAI 2024 – Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, JAKIM telah menganjurkan Kursus Persediaan Fasilitator Penjagaan Spiritual Bagi Pesakit Terminal Care bertempat di Bilik Seminar al-Bayyinah, Kompleks Islam Putrajaya. Kursus ini melibatkan 27 orang peserta yang terdiri daripada fasilitator KSKCareCentre JAKIM dan juga Sukarelawan Sosial Islam (SSI). Kursus dua hari ini diadakan bagi memberi pendedahan dan peningkatan ilmu pengetahuan kepada para peserta sebagai persediaan bagi menyantuni pesakit-pesakit terminal care yang menerima rawatan di Institut Kanser Negara (IKN) dari aspek penjagaan spiritual.
Perkongsian ilmu yang disampaikan oleh penceramah jemputan yang pakar dalam bidang masing-masing telah membuka minda para peserta dalam mempersiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran dalam proses memberi bimbingan kepada pesakit-pesakit agar mereka dapat mengakhiri kehidupan dengan sebaik-baiknya.
Lima slot utama dalam perkongsian ilmu memberi fokus kepada tiga pendekatan yang digunakan serta teknik-teknik sesuai untuk diaplikasikan oleh peserta semasa proses bimbingan bersama pesakit. Para peserta juga turut mendapat pendedahan dari pegawai perubatan dan pegawai Psikologi Klinikal IKN berkaitan senario rawatan yang dijalankan di IKN serta panduan semasa bertemu pesakit.
Majlis perasmian kursus telah disempurnakan oleh Tuan Haji Mohd Norizan bin Abd Ghani, Pengarah Bahagian KSK JAKIM. Diharapkan kursus ini dapat memberi panduan kepada peserta dalam melaksanakan khidmat bimbingan kepada pesakit kelak. Semoga usaha ini mencapai objektif dalam memberi bimbingan kepada pesakit agar dapat mengakhiri hayat dengan husnul khatimah.











