BANGI, 26 - 28 JULAI 2024 – Alhamdulillah...dengan Izin Allah satu lagi perancangan Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) untuk melaksanakan Kursus Training Of Trainers (TOT) Modul Kemahiran Psikospiritual Islam dapat dilaksanakan dengan jayanya pada 26 - 28 Julai 2024 (Jumaat - Ahad) bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi.
Program ini melibatkan seramai 35 orang peserta dalam kalangan fasilitator KSKCareCentre Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, fasilitator PKKSK Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) Zon Tengah dan fasilitator KSKCareCentre Kolej Darul Hikmah. Penganjuran kursus pada kali ini turut disertai oleh pegawai khidmat nasihat Pusat Kaunseling Islam Al-Ghazali Kementerian Pertahanan Malaysia.
Program 3 hari ini memberi pendedahan berkenaan konsep psikospiritual Islam serta jenis-jenis terapi yang boleh diaplikasikan dalam sesi khidmat nasihat bersama klien. Sesi latihan dalam kumpulan (LDK) dan simulasi sesi khidmat nasihat turut dilaksanakan bagi memantapkan lagi kefahaman para peserta dalam menggunakan kaedah terapi yang sesuai mengikut situasi masalah klien.
Perkongsian ilmu yang disampaikan oleh penceramah jemputan yang juga merupakan penggubal modul yang pakar dalam bidang masing-masing diketuai oleh Prof. Dr. Che Zarrina Saari, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya telah membuka minda para peserta dalam mempersiapkan ilmu dan kemahiran dalam proses tolong bantu kepada masyarakat yang berhadapan dengan masalah kehidupan dengan cara yang terbaik.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Ustazah Noor Haliza Binti Ali, Ketua Penolong Pengarah Bahagian KSK mewakili Tuan Haji Mohd Norizan bin Abd Ghani, Pengarah Bahagian KSK JAKIM. Ucapan beliau mengingatkan agar semua peserta dapat mengaplikasikan ilmu yang disampaikan ketika memberi khidmat nasihat kepada klien dan sentiasa menambah ilmu bagi meningkatkan profesionalisme dalam menjalankan tugas. Ucapan mewakili peserta telah disampaikan oleh Ustaz Mohamad Shukeri Yaacob selaku penghulu kursus.
Diharapkan kursus ini dapat memberi panduan kepada peserta dalam melaksanakan khidmat nasihat kepada klien. Semoga usaha ini mencapai objektif untuk mensejahterakan masyarakat mendapat keredhoaan Allah SWT.