Kurator Berita : Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti
BAGAN LALANG, 19-21 JULAI 2024 – Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Bahagian Pemulihan Al-Riqab, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Yayasan Ihtimam Malaysia (YIM) telah menganjurkan Program Mahrajan Komuniti Hijrah Madani pada 19 hingga 21 Julai 2024 bersamaan 13 hingga 15 Muharram 1446H bertempat di Hotel Seri Malaysia, Bagan Lalang Selangor.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sebentar tadi. Turut hadir bersama ialah YAD Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz bin Mohd Yusoff, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), YBhg. Datin Paduka Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff, Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Dato’ Haji Razali bin Shahabudin, Pengerusi Yayasan Ihtimam Malaysia, YBhg. Tuan Haji Mohd Norizan bin Abd Ghani, Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM, YBhg. Dr Hajah Noraini binti Nordin, Pengarah Sektor Pembangunan Sosial MAIS dan YBrs. Tuan Mohd Faizal bin Abdul Raji, Timbalan Pengarah Pengurusan, Jabatan Agama Islam Selangor.

Objektif program ini bertujuan membangkitkan kesedaran kerohanian kepada peserta untuk menginsafi diri tentang hakikat sebenar sebagai hamba Allah SWT dan menarik minat peserta terhadap kepentingan mendekati al-Quran dalam kalangan komuniti hijrah.

Program Mahrajan Komuniti Hijrah Madani turut mempertandingkan 4 acara kepada para peserta iaitu pertandingan azan, hafazan, tazkirah dan nasyid berkumpulan. Di samping itu, program ini juga memberi pendedahan kepada peserta mengenai pengurusan jenazah dan kursus sembelihan yang dikendalikan oleh Ustaz Abdul Halim bin Zakaria.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada 90 orang peserta yang telah berjaya menghadiri Program Mahrajan Komuniti Hijrah Madani yang diadakan buat julung kalinya pada tahun 2024 ini.

Terima kasih juga diucapkan kepada semua NGO Komuniti Hijrah yang terdiri daripada Pertubuhan Usrah Fitrah Klang, Pertubuhan Insan Permata Disayangi (PINTAS), Pertubuhan Hijrah Republique, Pertubuhan Nur Muaqobah, PKEMAS, Pertubuhan Cahaya Mentari, dan One Khalifah dalam menjayakan program kali ini.

Adalah diharapkan Program Mahrajan Komuniti Hijrah Madani Tahun 2024 ini mampu menjadi platform terbaik kepada para peserta untuk menjalani kehidupan yang lebih baik dan selari menurut tuntutan Syariat.

Mahrajan 1

Mahrajan 2

Mahrajan 3

Mahrajan 4

Mahrajan 5

Mahrajan 6

Mahrajan 7

Mahrajan 8

Mahrajan 9

Mahrajan 10