Putrajaya 14 Ogos – Program Perkaderan Syabab MABIMS Tahun 2024 menjadi antara wadah dalam usaha memperkasa golongan belia Islam di Malaysia dan negara serantau. MABIMS adalah singkatan kepada Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama; Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura.
MABIMS telah ditubuhkan sejak tahun 1989 dengan tujuan untuk mempereratkan ikatan persaudaraan Islam di Asia Tenggara. Program Perkaderan Syabab ini, telah berlangsung selama sembilan hari pada 6 hingga 14 Ogos itu telah disertai oleh 40 peserta dari empat negara anggota MABIMS.
Pada hari ini belia MABIMS telah diberikan taklimat fungsi dan peranan agensi agama terutama JAKIM. Mereka juga turut dibawa melawat ke beberapa kawasan menarik di sekitar Komplek Islam Putrajaya termasuk ke Studio Yusof. Taklimat telah disampaikan oleh Haji Hamdan bin Muhamad, Pegawai Unit Komunikasi Korporat JAKIM dan turut hadir ialah beberapa pegawai dari Bahagian Dakwah dan Bahagian Keurusetiaan dan Hubungan Luar JAKIM. Peserta seterusnya dibawa melawat Masjid Putra, Putrajaya.











