KOTA BHARU, KELANTAN, 15-17 OGOS 2024 – Tahniah diucapkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kerana telah berjaya mengadakan Kursus Pascaperkahwinan Islam " Sehati Sejiwa" bertempat di H-Elite Design Hotel, Kota Bharu, Kelantan dengan penyertaan seramai 36 orang peserta (18 pasangan suami isteri).
Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Mohd Norizan bin Abd Ghani, Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM. Turut diserikan lagi dengan ucapan alu-aluan daripada YM Tengku Kamarudin bin Tengku Alias, Timbalan Pengarah Pengurusan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK).
Objektif program ini adalah untuk memperkukuh dan memantapkan hubungan suami isteri dengan nilai-nilai kekeluargaan agar dapat membentuk keluarga yang sakinah, mawaddah wa rahmah. Peserta juga diberikan panduan dan tips bagi mengatasi konflik di dalam rumah tangga dengan meningkatkan pelbagai kemahiran yang relevan untuk membangunkan keluarga Islam yang berakhlak mulia.
Sepanjang program ini, peserta diberikan pemantapan ilmu berkaitan Pengurusan Kesihatan Keluarga, Pengurusan Kewangan Keluarga, Motivasi dan Pengurusan Psikologi serta Ibadah dan Pengurusan Stres dalam Rumah Tangga berdasarkan Modul Pascaperkahwinan Islam, JAKIM. Terdapat juga Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dengan slot Kenali Diri, Masam-Masam Manis, Azam dan Aku Janji serta Qiamullail dalam program ini.
Syabas dan tahniah kepada semua peserta Kursus Pasca Perkahwinan Islam Peringkat Negeri Kelantan 2024. Semoga mahligai yang dibina kekal bahagia hingga ke syurga.

















