Muzakarah ini dilaksanakan dengan objektif seperti berikut :
- Meningkatkan kerjasama dan penyelarasan di peringkat kebangsaan dalam bidang syariah dan mencapai harmonisasi syariah dalam sektor kewangan Islam,
- Membincangkan tema-tema terpilih berkaitan isu-isu syariah yang relevan dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta berkongsi ilmu dan pengalaman dalam mencari penyelesaian terhadap isu-isu syariah tersebut; dan;
- Mendapatkan cadangan dan pandangan, strategi-strategi berkesan serta pandangan bernas dan realistik sebagai input dalam usaha JAKIM membantu negara untuk muncul sebagai pusat kewangan Islam di peringkat antarabangsa.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im Bin Haji Mokhtar. Beliau dalam ucapan perasmian menyatakan bahawa penasihat syariah memainkan peranan penting dalam memastikan setiap transaksi dan amalan kewangan memenuhi kehendak Syariah. Melalui penyelidikan, membolehkan kita memahami dan menangani isu-isu baharu dalam industri kewangan Islam, memberikan sumbangan dalam penyebaran ilmu dan pengetahuan kepada masyarakat dan juga memastikan bahawa kewangan Islam terus kekal berdaya saing. Dalam hal ini, beliau turut menyeru kepada semua institusi kewangan Islam untuk terus menyokong usahausaha penyelidikan dan penerbitan berkaitan kewangan Islam.
Semoga Muzakarah yang dianjurkan ini membawa kepada penemuan dan penyelesaian yang lebih baik untuk memajukan industri kewangan Islam serta menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi ummah yang lebih inklusif dan sejahtera.