Kurator Berita : Bahagian Maqasid Syariah
SELANGOR, 29 Ogos 2024 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Maqasid Syariah dengan kerjasama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri telah mengadakan Konvensyen Madani: Ke Arah Penghayatan dan Pembudayaan Nilai Dalam Era Digital Tahun 2024. Konvensyen ini telah berlangsung dengan jayanya di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA Sepang dan dirasmikan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan dihadiri seramai 286 orang peserta yang hadir secara bersemuka dan 101 orang peserta hadir secara dalam talian yang mewakili Kementerian, Jabatan dan Agensi Persekutuan, Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Agama Islam Negeri, Kader-kader JAKIM di kementerian dan badan NGO.

Yang Berhormat Menteri dalam ucapan perasmian beliau telah menyentuh mengenai agenda membangun Malaysia MADANI yang menekankan kepada nilai-nilai murni, inklusif dan progresif ke arah membentuk tadbir urus baik (effective governance) melalui Inisiatif Pembangunan Nilai-MADANI yang dibangunkan oleh JAKIM. Inisiatif ini merangkumi dua aspek utama iaitu pengukuhan dasar-dasar negara dan pembangunan insan. Beliau juga menekankan aspek nilai-nilai murni yang berlandaskan kepada Maqasid Syariah untuk membina masyarakat MADANI yang berakhlak sejajar dengan arus perkembangan teknologi digital pada masa kini. YB Menteri turut menyempurnakan pelancaran awal (soft launch) Garis Panduan Kandungan Berunsur Islam Dalam Media Baharu dan Modul Pembangunan Insan Madani serta melancarkan Gagasan Kalimah Tayyibah Dalam Kehidupan Berkeluarga Bermasyarakat dan Bernegara.

Objektif penganjuran konvensyen ini merupakan sebahagian daripada usaha advokasi dalam memberikan penekanan kepada inisiatif pengukuhan nilai-nilai murni yang unggul dan adab dalam diri individu dan organisasi ke arah membangunkan perkhidmatan awam khususnya dan masyarakat amnya ke arah pembentukan Malaysia MADANI sejajar dengan arus perkembangan teknologi digital dan komunikasi pada masa ini.

Rakaman siaran ulangan:

https://www.facebook.com/MyJAKIMmalaysia/videos/892479086074491/?locale=ms_MY


KONVENSYEN MADANI 01

KONVENSYEN MADANI 03

KONVENSYEN MADANI 04

KONVENSYEN MADANI 02