Alor Setar, Kedah – 4 September 2024. JAKIM melalui Bahagian Pendidikan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) telah menganjurkan satu program “Meet & Greet” untuk memperkukuh hubungan dengan Guru Besar di premis KAFA Negeri Kedah. Perjumpaan ini telah dilangsungkan di Hotel Grand Alora.
Program ini bertujuan untuk memperkasa pelaksanaan program KAFA secara holistik di seluruh negara khususnya pengoperasian di dalam premis KAFA. Secara tidak langsung majlis tersebut memberi peluang kepada kepimpinan tertinggi JAKIM bertemu dan menyampaikan maklumat terkini kepada para pegawai agensi pelaksana negeri, penyelia, pentadbir premis dan guru KAFA seluruh negeri. Di samping itu program ini berjaya mengeratkan lagi hubungan kerjasama strategik antara JAKIM dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri serta agensi pelaksana KAFA ke arah kesejahteraan ummah demi memantapkan dasar dan tadbir urus program KAFA.
Program ini merupakan satu lagi inisiatif JAKIM untuk mengekalkan dan menambahbaik pencapaian program KAFA di peringkat negeri. Seramai 400 orang dalam kalangan Guru Besar, Pegawai Agama Daerah, guru penyelaras dan guru KAFA telah bersama dalam menjayakan program ini. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM, YBrs. Dr. Haji Ruslan Bin Said. Turut hadir bersama YBhg. Dato' Sheikh Ismi Anuar bin Abdul Halim, Timbalan Operasi JHEAIK, dan Tuan Haji Mohd Fadzil B. Abu Kasim, Pengarah Bahagian Pendidikan JAKIM.