Kurator Berita : Unit Komunikasi Korporat
Pada 1-3 Oktober 2024, JAKIM telah diundang menyertai International Symposium on Innovative Masjid (ISIM) 2024 anjuran Kementerian Agama Republik Indonesia dengan kerjasama Masjid Istiqlal dan Masjid Raya Sheikh Zayed bertempat di Hotel Swissbell, Solo, Indonesia. Hadir merasmikan pembukaan simposium ialah Prof. Dr. Phil. H. Kamarudin, M.A. Direktur Jenderal, Direktorat Jenderal Bimbingan Masyarakat Islam Kementerian Agama Republik Indonesia.

Tema yang diangkat pada simposium ini ialah “Eco-friendly Mosque, Climate Change and Future Generation”. Al-Fadhil Dr. Muhamad Zakuwa bin Rodzali, Imam Besar Masjid Putra yang mewakili Malaysia telah membentangkan kertas bertajuk "The Strategic Role of Religions, Religious Actor and House of Worship on Preserving Environment".

Selain Malaysia, wakil daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE), Amerika Syarikat (USA), Belgium dan Switzerland turut diundang membentangkan kertas dan berkongsi pengalaman dalam pengurusan masjid.

Majlis Anugerah Masjid Percontohan dan Ramah (AMPeRa) 2024 turut diadakan bagi memeriahkan simposium tersebut. AMpPeRa adalah satu inisiatif baharu yang dilaksanakan oleh pemerintah Republik Indonesia melalui Kementerian Agama bagi menghargai pengurusan masjid yang cemerlang dalam pelbagai kategori. Indonesia memiliki sebanyak 831,096 buah masjid yang direkodkan (berdaftar). Selain itu, buku Inovasi Mewujudkan Masjid Ramah Untuk Kemaslahatan Semua turut dilancarkan dan dibahaskan.

Pada kesempatan yang sama, Imam Besar Masjid Putra yang diiringi oleh Atase Agama JAKIM di Kedutaan Besar Malaysia Jakarta turut mengadakan lawatan ke Masjid Raya Sheikh Zayed bagi melihat dan berdiskusi mengenai pengurusan masjid yang menjadi ikonik baharu di Kota Solo.