Seramai 38 pelajar baharu telah mendaftar bagi program Sarjana Muda Al-Quran dan Sunnah USIM-DQ sesi 2024/2025 di Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu Bharu, Selangor, semalam.
Pelajar yang terpilih daripada 186 permohonan ini terdiri daripada pelbagai Maahad Tahfiz yang telah berkolaborasi dengan Darul Quran JAKIM.
Keistimewaan program kerjasama antara JAKIM dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ini ialah ia menawarkan pengajian selama tiga tahun secara percuma, ditanggung sepenuhnya oleh JAKIM. Selain itu, pelajar juga menerima tajaan biasiswa sepanjang tempoh pengajian mereka.
Dalam ucapan perasmian majlis sambutan pelajar baharu, Tuan Pendaftar, Encik Azizuddin bin Mohd Hashim yang mewakili Pengarah Darul Quran berharap agar para pelajar dapat menghayati budaya pengajian universiti dan mempamerkan adab sebagai pelajar pengajian Islam melalui bimbingan para pensyarah.
“Pihak pengurusan Darul Quran juga turut hadir menyambut pelajar baharu dan memberi jaminan bahawa kami akan memberikan komitmen penuh bagi memastikan pelajar dapat menamatkan pengajian dengan cemerlang, serta melahirkan graduan yang berjaya,” katanya.