22 Oktober 2024 | 19 Rabiulakhir 1446H | Selasa – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Penerbitan telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Jawatankuasa Penyelarasan Penerbitan Islam (JPPI) Kali Pertama Tahun 2024 di Bilik Mesyuarat Menteri, Aras 9, Blok A, Kompleks Islam Putrajaya. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh YBrs. Ustaz Azman bin Mat Hassan, Pengarah Bahagian Penerbitan JAKIM mewakili Timbalan Ketua Pengarah Operasi (TKPO) JAKIM dan dihadiri oleh 32 ahli mewakili agensi di bawah YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama (HEA)) termasuk urus setia dari Bahagian Penerbitan JAKIM.
Mesyuarat ini merupakan platform sulung yang mempertemukan 14 agensi hal ehwal agama bagi tujuan menyelaras dan melaksanakan tindakan/ gerak kerja berkaitan penerbitan termasuklah penulisan, persuratan, percetakan, perbukuan, promosi, edaran dan jualan bahan-bahan berunsur Islam di Malaysia. Mesyuarat kali ini memfokuskan Hala Tuju Penerbitan Islam Malaysia Tahun 2024 – 2027 yang dirangka mengandungi 6 inisiatif berserta 19 aktiviti yang telah dan akan dilaksanakan secara kolektif oleh semua agensi hal ehwal agama di bawah YB Menteri di JPM.
Mesyuarat dimulakan dengan perutusan pengerusi diikuti dengan taklimat mengenai Hala Tuju Penerbitan Islam Malaysia 2024 - 2027 seterusnya pembentangan Cadangan Pelan Promosi Bahan Terbitan Agensi Hal Ehwal Agama Tahun 2025 – 2027 yang dibangunkan bagi memenuhi matlamat yang telah digariskan di bawah Teras 1, Fokus 2 - Pelan Transformasi Al-Falah 2023 – 2027 iaitu “Pemantapan Penyelidikan Islam dan Persuratan Islam bagi Mewujudkan Pentadbiran Mampan”.
Inisiatif penubuhan Jawatankuasa Teknikal JPPI adalah susulan keputusan Mesyuarat JPPI yang bersidang kali pertama pada 4 Ogos 2023 dipengerusikan oleh mantan Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Datin Paduka Hajah Hakimah binti Mohd. Yusoff. Tujuan penubuhannya adalah untuk menyelaras gerak kerja dan tindakan bagi melaksanakan program melibatkan aktiviti berkaitan penerbitan bahan-bahan berunsur Islam dalam kalangan agensi hal ehwal agama di bawah YB Menteri di JPM. Jawatankuasa ini dipengerusi oleh TKPO JAKIM dan bertanggungjawab melaporkan hasil pelaksanaan program/ aktiviti yang dirancang bersama kepada JPPI yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JAKIM dan YB Menteri di JPM (HEA) selaku Penasihat JPPI seterusnya ke peringkat yang lebih tinggi berdasarkan keperluan dari semasa ke semasa.
“Alhamdulillah & terima kasih kepada semua agensi yang telah memberi kerjasama terbaik bagi menjayakan penyertaan bersama sebagai satu pasukan “Pavilion Al-Falah” sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 pada bulan Mei di WTCKL yang lalu. Inisiatif pertama seumpamanya ini adalah pencapaian pertama kita di bawah JPPI. Tahniah dan syabas semua!”
Sumber: Petikan Perutusan Pengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal
di bawah JPPI Kali Pertama Tahun 2024.