Kurator Berita : Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti
04-07 November 2024M | 02-05 Jamadil Awal 1446H | Jakarta
 
JAKIM melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) telah mengadakan Persidangan Ketua-Ketua Pendaftar Nikah, Cerai & Ruju’ (KPNCR) Seluruh Malaysia yang ke-49 Tahun 2024, bertempat di Hotel Manhattan, Jakarta Indonesia.

Persidangan tetap tahunan kali ini dilaksanakan di Jakarta bersekali dengan lawatan kerja bagi melihat sendiri proses permohonan kebenaran berkahwin di KUA serta diskusi secara langsung bersama Direktorat Bina KUA dan Keluarga Bahagia, KEMENAG.

Tujuan program ini diadakan adalah bagi mengadakan penyelarasan dengan pihak KUA dan KEMENAG berkaitan dokumentasi yang diperlukan apabila membuat permohonan berkahwin atau permohonan pendaftaran perkahwinan. Disamping itu memberi pendedahan dan pemahaman yang betul kepada pihak berautoriti yang menguruskan pernikahan warganegara Indonesia yang akan berkahwin dengan warganegara Malaysia.

Selain itu bagi meningkatkan pemahaman bahawa perkahwinan melibatkan luar negara perlu pengesahan dokumen oleh pihak Kedutaan / Pejabat Konsulat  di dalam dan di luar negeri. Serta mewujudkan mekanisma membendung penularan pernikahan secara sindiket atau siri yang berlaku di kedua-dua negara. Apa yang penting ialah menjalinkan hubungan diplomatik dan kerjasama erat melalui jaringan antarabangsa.

Antara aktiviti yang telah diatur disamping Persidangan KPNCR Kali Ke-49 ialah :

  • Penyerahan lantikan Tauliah Wali Raja kepada Pegawai Atase Agama iaitu Ustaz Mohd Shamsuri bin Ghazali ;
  • Lawatan ke Masjid Istiqlal yang merupakan masjid terbesar di Asia Tenggara ;
  • Lawatan ke KUA Menteng, Jakarta Pusat bagi melihat proses dan sistem permohonan kebenaran berkahwin di Indonesia ;
  • Diskusi berkaitan hal ehwal pernikahan bersama Direktorat Bina KUA dan Keluarga Bahagia, KEMENAG ;
  • Majlis Malam Tautan Mahabbah KPNCR Seluruh Malaysia Bersama Direktorat Bina KUA, Keluarga Bahagia, KEMENAG dan Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta ;
  • Forum Baiti Jannati dengan tajuk : “Keluarga Harmoni Pemangkin Malaysia Madani” bertempat di Dewan Besar Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta yang telah dihadiri oleh seluruh kakitangan Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta serta keluarga ;
  • Lawatan ke Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.
Lawatan kerja, diskusi bersama Direktorat Bina KUA dan Persidangan kali ke-49 ini diketuai serta dipengerusikan oleh Tuan Haji Mohd Norizan bin Abd Ghani, Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) JAKIM. Semoga apa yang telah diusahakan ini dapat membantu JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) bagi membuat penyelarasan berkaitan hal ehwal perkahwinan, perceraian dan ruju’ di antara kedua-dua negara ini ke arah yang lebih baik dan harmoni.

KEMENAG 1

KEMENAG 2

KEMENAG 3

KEMENAG 4

KEMENAG 5

KEMENAG 6

KEMENAG 7

KEMENAG 8

KEMENAG 9

KEMENAG 10