HULU LANGAT, 14 - 16 FEBRUARI 2025 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) telah menganjurkan program Remaja Islam Sentiasa Excellent (RISE Camp) selama 3 hari 2 malam dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Kuala Lumpur (JKMKL).
Majlis Perasmian RISE Camp Kuala Lumpur telah diadakan pada 14 Februari 2025 (Jumaat) yang disempurnakan oleh YBrs. Puan Noor Haliza binti Ali (KPP Bahagian KSK JAKIM) mewakili Tuan Pengarah Bahagian KSK JAKIM. Turut hadir sama iaitu YBrs. Tuan Lukman bin Mohd Hosni (KPP JAWI) dan YBrs. Puan Nur Khairunnisa binti Zolkipli (PPK JKMKL). Seramai 40 orang kanak-kanak klien JKMKL daripada kategori Perintah Bengkel Interaktif, Perintah Khidmat Masyarakat, Sekolah Tunas Bakti Sungai Besi dan Asrama Sentosa (Asrama Akhlak) telah mengikuti program ini yang diadakan bertempat di Nur Lembah Pangsun Eco Resort, Hulu Langat, Selangor. Pihak penganjur juga mengucapkan setinggi penghargaan kepada semua rakan agensi kerjasama dan juga Syarikat Mamee Sdn. Bhd. sebagai rakan strategik atas sumbangan set makanan dan minuman kepada para peserta.
Penganjuran RISE Camp ini amat bertepatan dengan objektif program sebagai salah satu usaha berterusan oleh pihak JAKIM bersama rakan strategik bagi membantu dan membimbing komuniti juvana agar dapat menjauhkan diri dari terjerumus dalam aktiviti yang merosakkan masa depan mereka dengan mengutamakan pemulihan kerohanian dari aspek akidah, ibadah dan akhlak serta elemen psikospiritual Islam.
Pelbagai aktiviti interaktif dan gamifikasi telah dijalankan dalam slot-slot utama antaranya Slot Paksi Keimanan (Akidah), Slot Smart Solat (Ibadah), Slot The Power of Adab (Akhlak) dan Slot Ma’rifatun Nafs (Psikospiritual Islam) yang dikendalikan oleh urus setia JAKIM bersama fasilitator terlatih. Peserta turut menjalani aktiviti riadah berkonsep dan pelbagai akitiviti luar sepanjang program 3 hari berlangsung.
Semoga program ini memberi manfaat dan kesedaran kepada semua peserta sebagai panduan hidup di masa hadapan tertutamanya berkaitan elemen kerohanian, demi kecemerlangan diri, keluarga dan masyarakat.



















