Kurator Berita : Bahagian Keluarga, Sosial Dan Komuniti
PUTRAJAYA, 19 - 20 FEBRUARI 2025 – Kerenah birokrasi dalam pengurusan nikah, cerai dan ruju’ sering kali menjadi isu yang dihadapi oleh individu dalam menguruskan perkahwinan, penceraian dan ruju’. Isu tersebut antaranya melibatkan sistem pentadbiran yang kompleks, prosedur yang banyak dan berlapis, rumit dan berbeza antara pihak berkuasa agama negeri menyebabkan kelancaran proses pengurusan tersebut tidak dapat diselesaikan dalam waktu yang singkat.

Menyedari situasi ini, JAKIM menerusi Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) telah mengambil inisiatif mengadakan Bengkel Semakan Dokumen Berkaitan Nikah, Cerai dan Ruju’ di Malaysia. Dokumen yang dimaksudkan adalah Buku Prosedur Pentadbiran Perkahwinan Penceraian dan Ruju’, Buku Garis Panduan Pengurusan Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Di Luar Negara dan Buku Permohonan Perintah Pengesahan dan Pendaftaran Perkahwinan (Permohonan 4P). Bengkel ini telah dihadiri oleh para pegawai yang terlibat secara langsung dalam pengurusan proses nikah, cerai dan ruju’ daripada Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) seluruh Malaysia, Kementerian Luar Negara (KLN) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Objektif semakan dokumen ini dibuat agar selaras dengan perubahan undang-undang dan keperluan masyarakat semasa di samping diurus dengan teratur, mengikut syariat Islam dan undang-undang yang berkuat kuasa. Selain itu, bengkel semakan ini dapat mengurangkan kemungkinan kesilapan dalam pengurusan dokumentasi dan prosedur demi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada masyarakat melalui garis panduan yang lebih efisien dan mesra pengguna.

Ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Tuan Haji Mohd Norizan bin Abd. Ghani selaku Pengarah Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) JAKIM mengharapkan agar hasil pengemaskinian dokumen-dokumen tersebut lebih memudahkan proses perkahwinan, perceraian, dan ruju’ dalam dan luar negara tanpa mengabaikan aspek perundangan dan prosedur yang berkuat kuasa selari dengan tuntutan agama.

ncr 1

ncr 2

ncr 3

ncr 4