Kota Kinabalu, 18 Februari 2025 – Darul Quran JAKIM telah mengadakan lawatan penaziran akademik ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi menilai dan menambah baik Program Pensijilan Tahfiz Al-Quran JAKIM-UMS. Lawatan ini bertujuan untuk memastikan kualiti akademik serta pematuhan program tahfiz mengikut standard yang ditetapkan oleh JAKIM. Penaziran melibatkan penilaian kurikulum, kaedah pengajaran dan pembelajaran, serta keberkesanan program dalam melahirkan pelajar cemerlang dalam akademik dan hafazan Al-Quran.
Dua pegawai Darul Quran terlibat dalam penaziran ini iaitu Ustaz Muhammad Zaki bin Ab Rahman, Ketua Unit Muadalah DQ, dan Ustaz Mohd Fazli bin Mohd Azali, Ketua Unit Peperiksaan DQ. Mereka disambut oleh Prof Dr. Suhaimi Taat, Dekan Fakulti Pengajian Islam UMS, serta Prof Dr. Mohd Dahlan Hj. A. Malek, Dekan Fakulti Pengajian Psikologi & Kerja Sosial UMS bersama beberapa pegawai akademik universiti.
Hasil penaziran ini akan digunakan untuk memperbaiki serta meningkatkan mutu program agar lebih berdaya saing dan relevan dengan perkembangan pendidikan Islam di Malaysia. Program Pensijilan Tahfiz Al-Quran JAKIM-UMS kini menerima penyertaan pelajar dari pelbagai latar belakang dan merupakan kohot pertama. Dengan pemantauan berterusan, program ini diharapkan terus berkembang dan memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar pada masa hadapan.







