Kurator Berita : Bahagian Maqasid Syariah
PUTRAJAYA, 24 Februari 2025 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Maqasid Syariah telah mengadakan Kursus Eksplorasi Maqasid: Kupas Tuntas Buku “Kaedah Maqasid Al-Shari’ah” Siri 2/2025. Program ini telah berlangsung dengan jayanya di Perpustakaan JAKIM, Aras 3, Blok B, Kompleks Islam Putrajaya dengan dihadiri seramai 40 orang peserta yang terdiri daripada Kumpulan Pengurusan dan Profesional JAKIM dan juga Kumpulan Pelaksana JAKIM.

Buku “Kaedah Maqasid Al-Shari`ah” ini telah diperkenalkan oleh Pelopor Maqasid Syariah yang tersohor iaitu Shaykh Prof. Dr. Ahmad al- Raysuni. Kupasan buku ini telah disampaikan oleh Ustaz Marwan Bukhari, Felo daripada Maqasid Institut Malaysia (MIM) yang merupakan seorang penulis, penterjemah dan penyelidik bagi buku ini. Program kupasan buku ini juga dijadualkan berlangsung sebanyak 16 siri sepanjang tahun 2025. Kursus ini merupakan program kesinambungan daripada siri 1/2025 yang lalu.
 
Kupasan buku pada kali ini telah menjelaskan secara terperinci kaedah Maqasid yang keenam sehingga kaedah dua belas di bawah bab 1 yang bertajuk “Kaedah Maslahah & Kedudukannya Dalam Maqasid al-Shari’ah”. Kaedah Maqasid Shariah ini mengandungi syarah ringkas dan jelas bagi sesuatu kaedah serta nas dan pandangan para ulama’ berkaitan sesuatu kaedah itu.

Program Kursus Eksplorasi Maqasid Siri 2/2025 ini telah berakhir dengan jayanya melalui semangat kerjasama dan komitmen setiap peserta dalam meneroka khazanah ilmu pengetahuan.

Kursus Eksplorasi Maqasid 01

Kursus Eksplorasi Maqasid 02

Kursus Eksplorasi Maqasid 03