BANGI, 7 MAC 2025 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Hulu Langat, Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Hulu Langat, Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, Yayasan Ihtimam Malaysia (YIM), dan Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi, Selangor telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan Program Kasih Ramadan bersama Klien AADK bertempat di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, Selangor.
Program ini bertujuan meningkatkan pengetahuan dan penghayatan serta kepentingan amalan di bulan Ramadan di samping mengeratkan ukhwah dan mengintegrasikan diri klien dalam masyarakat. Menyantuni golongan yang memerlukan dalam bulan Ramadan juga adalah salah satu bentuk manifestasi kasih sayang sesama Islam. Dengan menyediakan kemudahan ibadah, memberi bantuan makanan dan menganjurkan program bercorak inklusif, kita dapat memastikan golongan ini tidak terpinggir daripada aktiviti ibadah dan kebajikan sepanjang bulan yang penuh dengan keberkatan ini.
Program yang berlangsung selepas solat Asar tersebut dimulai dengan pengisian slot 1 iaitu Sesi Psikospiritual : Tadarus Al-Quran dan Berzikir yang dipimpin oleh barisan Fasilitator JAKIM dan disusuli dengan slot 2 program iaitu sesi Tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh penceramah jemputan, Ustaz Mohd Mustafidurrohman bin Mohd Syahroni, pegawai kader JAKIM dari Istana Negara dengan kupasan tajuk : Ramadan, Syukuri Tanpa Tapi.
Program kolaborasi bersama antara rakan strategik ini turut dihadiri YBrs. Puan Noor Haliza binti Ali, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, JAKIM, YBrs. Puan Dayana binti Md Nasir, wakil daripada AADK Negeri Selangor, YBrs. Tuan Muhammad Afiq bin Mohd Salemi, Ketua Pegawai AADK Daerah Hulu Langat, YBrs. Puan Nor Hafiza binti Mohd Salleh, Ketua Unit Rawatan dan Pemulihan AADK Daerah Hulu Langat, Nazir Masjid Al-Hasanah dan barisan AJK Masjid Al-Hasanah serta barisan urus setia dari JAKIM dan AADK.
Seramai 98 orang peserta yang terdiri dalam kalangan klien AADK Daerah Hulu Langat telah mengikuti dengan jayanya program tersebut dan mereka juga diberi sumbangan barangan dapur dan kit ibadah untuk setiap seorang. Program diakhiri dengan Majlis Berbuka Puasa dan Solat Maghrib serta Solat Isyak dan Solat Tarawih berjemaah.















