Kurator Berita : Darul Quran
Bengkel Pembinaan Kaedah Hafazan al-Quran bagi Program Diploma Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat telah dianjurkan pada 5 hingga 7 Mei 2025 bertempat di Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya. Program ini telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Tuan Haji Mohd Ansarullah bin Mohd Hashim, Pengarah Darul Quran JAKIM dan menghimpunkan para pensyarah tasmik bagi memperhalusi pendekatan pengajaran dan pembelajaran hafazan al-Quran yang lebih sistematik dan berkesan.

Bengkel yang diadakan ini memberi fokus kepada pembinaan kaedah-kaedah hafazan dan murajaah yang bersesuaian dengan keperluan pelajar dalam pelbagai kategori – termasuk pelajar yang belum pernah menghafaz, pelajar di peringkat pertengahan hafazan, serta pelajar yang telah mengkhatamkan hafazan 30 juzuk al-Quran. Perbincangan juga melibatkan penyusunan jadual rutin harian hafazan dan murajaah yang mampu membentuk disiplin dan istiqamah dalam kalangan pelajar.

Selain itu, bengkel ini juga diadakan dengan objektif untuk menghasilkan satu garis panduan menyeluruh yang boleh dijadikan rujukan utama oleh para pensyarah dan pelajar tahfiz bagi memastikan proses pengajian berjalan secara lebih tersusun dan efektif.

Turut hadir sebagai penceramah jemputan ialah Dr Abdul Jalal bin Abdul Manaf, Pensyarah Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris, yang berkongsi kepakaran serta pengalaman luas beliau dalam membangunkan pendekatan pedagogi tahfiz yang kontemporari tetapi masih berakar kepada tradisi.

Melalui sesi perbincangan, pembentangan dan bengkel kumpulan, peserta berpeluang untuk menilai semula metodologi semasa serta mencadangkan inovasi yang selari dengan cabaran dan tuntutan pengajian tahfiz masa kini.

Bengkel ini diakhiri dengan pembentangan rumusan dan cadangan pelaksanaan yang akan dibawa ke peringkat pengurusan Darul Quran JAKIM untuk penambahbaikan kurikulum dan pendekatan pengajaran tahfiz secara keseluruhan.

DQ01

DQ02

DQ03

DQ04