Kurator Berita : Bahagian Maqasid Syariah
PUTRAJAYA, 30 Jun 2025 – Memahami hikmah dan keutamaan di sebalik hukum Islam bukan sekadar wacana ilmiah, tetapi satu tuntutan untuk memastikan syariah benar-benar menjadi panduan dalam kehidupan seharian. Seiring dengan misi tersebut, Bahagian Maqasid Syariah JAKIM dengan kerjasama Bahagian Penerbitan telah menganjurkan Kursus Eksplorasi Maqasid: Kupas Tuntas Buku Kaedah Maqasid Al-Shari’ah Siri 8/2025, yang berlangsung di Perpustakaan JAKIM, Kompleks Islam Putrajaya.

Kursus yang berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga 11.30 pagi itu dihadiri seramai 30 orang pegawai dari pelbagai peringkat pengurusan dan pelaksana JAKIM serta agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Pengisian kursus disampaikan oleh Ustaz Marwan Bukhari bin A. Hamid, penterjemah buku Kaedah Maqasid Al-Shari’ah, karya ilmuan kontemporari Prof. Dr. Ahmad Raysuni.

Sesi ini memberi tumpuan khusus kepada lima kaedah, bermula kaedah yang ketiga  puluh enam hingga kaedah  empat puluh yang dihuraikan dalam bab keempat buku tersebut, dibedah secara mendalam dengan pendekatan yang aplikatif serta bersifat kontemporari. Lima Kaedah yang dibincang adalah:
  • Kaedah 36: Tidak diharuskan untuk menghentikan maslahah yang selalunya terhasil kerana bimbangkan mafsadah yang jarang berlaku.
  • Kaedah 37: Darurat mengharuskan perkara dan perbuatan yang dilarang.
  • Kaedah 38: Keperluan yang bersifat umum (al-hajah al-‘ammah) dikira sebagai darurat yang khusus (al-darurah al-khassah)
  • Kaedah 39: Pemeliharaan nyawa didahulukan mengatasi pemeliharaan anggota badan, pemeliharaan anggota badan didahulukan mengatasi pemeliharaan kemaluan dan pemeliharaan kemaluan didahulukan mengatasai pemeliharaan harta.
  • Keedah 40: Al-Qurbah (amalan soleh) yang tersebar manfaatnya kepada orang lain lebih baik daripada al-qurbah yang manfaatnya terhad kepada pelakunya sahaja.
Pendekatan eksploratif ini memberi nafas segar dalam memahami bagaimana maqasid boleh menjadi panduan dalam membuat keputusan hukum, terutamanya dalam konteks pentadbiran dan dasar-dasar semasa negara.

Program ini bukan sahaja mengangkat nilai ilmu, tetapi memperkukuh lagi kefahaman maqasid syariah dalam kalangan peserta agar dasar dan tindakan mereka sentiasa berpaksikan maslahat dan hikmah syarak.

KUPAS TUNTAS KAEDAH MAQASID DARI BUKU KE LAPANGAN TUGAS 01

KUPAS TUNTAS KAEDAH MAQASID DARI BUKU KE LAPANGAN TUGAS 02

KUPAS TUNTAS KAEDAH MAQASID DARI BUKU KE LAPANGAN TUGAS 03

KUPAS TUNTAS KAEDAH MAQASID DARI BUKU KE LAPANGAN TUGAS 04