Kurator Berita : Darul Quran

KUALA KRAI, 21 Jun 2025 – Seramai 41 orang peserta yang terdiri daripada pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Darul Quran (DQ) JAKIM semester 2 telah berjaya melaksanakan Program Jaulah Ukhuwwah di Kampung Chatel, Lata Rek, Kuala Krai, Kelantan.

Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam bermula 19 Jun ini merupakan sebahagian daripada keperluan Pro Forma Subjek Dirasat Islamiah II. Ia turut disertai oleh beberapa orang pegawai Darul Quran termasuk Pengarah Darul Quran sendiri, YBrs. Tuan Haji Mohd Ansarullah bin Mohd Hashim.
Antara pengisian utama program ialah Forum Perdana yang menampilkan YBrs. Tuan Haji Mohd Ansarullah Bin Mohd Hashim dan Ustaz Abdul Hafies Bin Abdul Manaf, Imam Tua Masjid Mukim Lata Rek sebagai ahli panel. Forum ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Haji Fauzi bin Abdullah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manek Urai.

Selain aktiviti ilmu, para peserta turut mengadakan khidmat komuniti bersama penduduk kampung seperti pengagihan sumbangan, jamuan rakyat, gotong-royong membersihkan kawasan perkuburan, sukaneka bersama penduduk serta aktiviti jungle tracking yang menyeronokkan. Majlis penutupan program telah disempurnakan oleh YBrs. Pengarah Darul Quran pada hari terakhir program.

Program Jaulah Ukhuwwah ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasikan ilmu secara praktikal, malah turut memupuk semangat kesukarelawanan, mempererat hubungan silaturrahim serta menyemai nilai keprihatinan terhadap masyarakat.

Semoga program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform pembangunan sahsiah pelajar yang holistik serta memberi manfaat kepada komuniti setempat.

Pelajar Usim Dq Jayakan Program Jaulah Ukhuwwah Di Kampung Chatel Lata Rek 01

Pelajar Usim Dq Jayakan Program Jaulah Ukhuwwah Di Kampung Chatel Lata Rek 02

Pelajar Usim Dq Jayakan Program Jaulah Ukhuwwah Di Kampung Chatel Lata Rek 03

Pelajar Usim Dq Jayakan Program Jaulah Ukhuwwah Di Kampung Chatel Lata Rek 04