Langkawi, 16 September 2025 – Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Agama (KESSUMA) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-24 Tahun 2025 melabuhkan tirainya dalam satu majlis penutupan rasmi yang berlangsung dengan penuh gemilang dan bermakna.
Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Brigedier Jeneral Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail, yang mewakili Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir memeriahkan majlis ialah Yang Berbahagia Dato’ Dr. Haji Abdul Ghani @ Zulkifli bin Haji Zainuddin, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam serta Dato' Syeikh Ismi Anuar bin Haji Abdul Halim, Timbalan Pengarah Operasi JHEAIK.
Dalam ucapan penutup, YBhg. Datuk menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT atas kelancaran kejohanan yang bukan sahaja menonjolkan bakat sukan pelajar sekolah menengah agama, tetapi juga memperkukuh ukhuwah, semangat kesukanan, dan nilai kepimpinan dalam kalangan generasi muda Islam.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selaku penganjur utama, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) selaku tuan rumah dan rakan penganjur bersama, serta semua pihak yang terlibat termasuk guru, jurulatih, pengadil, sukarelawan, dan masyarakat setempat yang menjayakan kejohanan ini.
Menurut beliau, KESSUMA merupakan antara platform penting dalam menjayakan Pelan Transformasi al-Falah, yang menekankan pembangunan sahsiah pelajar secara seimbang dari aspek jasmani, rohani, intelektual dan kepimpinan selaras dengan aspirasi melahirkan generasi Islam MADANI yang berakhlak, berdaya saing dan berintegriti.
Kejohanan kali ini, Negeri Terengganu telah dinobatkan sebagai Johan keseluruhan dengan 4 Johan dan 1 Naib Johan.
Majlis diakhiri dengan perasmian penutupan secara rasmi oleh beliau dan penyampaian hadiah kepada pemenang. Diharapkan KESSUMA dapat diteruskan sebagai medan pembangunan modal insan unggul dalam kalangan pelajar sekolah menengah agama di Malaysia.

















