Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mengadakan pemantauan operasi Pejabat Atase Agama Jakarta, Republik Indonesia (RI) dan beberapa siri kunjungan hormat kepada institusi penting di republik itu bermula 3 hingga 5 November 2025.
Sesi pemantauan tersebut bertujuan menilai dan menambahbaik operasi Pejabat Atase Agama JAKIM di Jakarta agar sentiasa mematuhi peraturan yang berkuatkuasa khususnya melibatkan pengurusan kewangan, aset dan sumber manusia. Pemantauan tersebut diketuai oleh YBrs. Dr. Mohamad Kori Jusoh, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) JAKIM bersama-sama lima orang pegawai dari pelbagai bahagian seperti Bahagian Keurussetian dan Hubungan Luar, Bahagian Kewangan, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dan Bahagian Khidmat Pengurusan. Pejabat Atase Agama Jakarta antara pejabat atase yang terawal ditubuhkan iaitu sejak tahun 1982 yang berperanan sebagai pegawai penghubung dalam bidang hal ehwal Islam antara Malaysia dan Republik Indonesia.
Selain pemantauan operasi Pejabat Atase Agama di Jakarta, para delegasi juga mengambil peluang membuat kunjungan kepada Sekretaris Jenderal, Kementerian Agama Republik Indonesia, TYT Duta Besar Malaysia ke Republik Indonesia dan Kepala Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal Republik Indonesia. Kunjungan ini bertujuan mengeratkan hubungan dua hala antara JAKIM dan rakan-rakan strategik di republik tersebut selain membincangkan pelbagai urusan hal ehwal Islam yang melibatkan kedua-dua negara termasuk pendidikan Islam, pengurusan halal, pengurusan perkahwinan dan penyelidikan strategik ke arah pembangunan ummah Madani.
Dalam kunjungan tersebut, semua pihak bersetuju agar hubungan baik antara dua negara terus dipertahan dan diperkasa dari semasa ke semasa. Hubungan dan kerjasama baik ini adalah penting bagi menjaga kebajikan rakyat di kedua-dua negara khususnya melibatkan hal ehwal Islam.
Pemantauan operasi pejabat dan kunjungan hormat ini secara langsung dapat memperkukuh peranan Pegawai Atase Agama JAKIM di Republik Indonesia serta memperteguh hubungan strategik antara institusi agama kedua-dua negara dalam usaha memperkasa pengurusan hal ehwal Islam serta kesejahteraan bersama.
#JAKIMuntukUmmah
#JAKIMSabah
#PelanTransformasiAlFalah
#IslamMekarDiBumiMalaysia
#malàysiamadani







