Kurator Berita : Bahagian Dasar Kemajuan Islam
KUALA LUMPUR, 15 Disember 2025 – Satu sesi taklimat berkenaan Model Saringan Maqasid al-Shariah in Responsible Investment (MSRI) telah diadakan hari ini bertempat di Aras 92, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Menara Merdeka 118, Kuala Lumpur.

Taklimat telah disampaikan oleh YBrs. Dr. Ahmad Basri Ibrahim, Ketua Pengurusan Syariah PNB, yang memberikan penjelasan menyeluruh mengenai latar belakang, rasional, metodologi serta pelaksanaan Model Saringan Maqasid al-Shariah. Model ini dibangunkan sebagai pendekatan pelaburan bertanggungjawab berteraskan prinsip Syariah, dengan mengambil kira kepentingan awam, kemampanan ekonomi serta kesejahteraan sosial.

Sesi ini telah diketuai oleh YBrs. Puan Salwana binti Ahmad Dahlan, Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kemajuan Islam (BDKI), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), bersama pegawai dan kakitangan Cawangan Maqasid Syariah. Turut hadir ialah YBrs. Dr. Amru Alhaz bin Adnan, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Penyelidikan JAKIM.

Penganjuran taklimat ini bertujuan meningkatkan kefahaman dan kapasiti pegawai JAKIM berkaitan aplikasi Maqasid al-Shariah dalam sektor pelaburan, khususnya dalam pengurusan dana dan pelaburan institusi. Selain itu, sesi ini menjadi platform perkongsian ilmu serta pertukaran pandangan antara PNB dan JAKIM dalam usaha memperkukuh tadbir urus berteraskan Maqasid Syariah dan pasaran modal Islam di peringkat nasional.

Secara keseluruhannya, taklimat ini memberikan pendedahan signifikan kepada peserta mengenai pendekatan integratif Maqasid al-Shariah dalam pelaburan bertanggungjawab, sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan pelaksanaan dasar dan amalan kewangan Islam yang holistik, mampan, dan memberi impak positif kepada masyarakat serta negara.

KOLABORASI JAKIM PNB PERKUKUH TADBIR URUS PELABURAN BERTERASKAN MAQASID SYARIAH 01

KOLABORASI JAKIM PNB PERKUKUH TADBIR URUS PELABURAN BERTERASKAN MAQASID SYARIAH 02

KOLABORASI JAKIM PNB PERKUKUH TADBIR URUS PELABURAN BERTERASKAN MAQASID SYARIAH 03

KOLABORASI JAKIM PNB PERKUKUH TADBIR URUS PELABURAN BERTERASKAN MAQASID SYARIAH 04