Kurator Berita : Bahagian Penerbitan
PUTRAJAYA, 29 Januari – 1 Februari 2026 – Ekspo Buku JAKIM (EBJ) terus melangkah pantas dengan memeriahkan Hari Terbuka Putrajaya 2026. Menyahut tema yang dislogankan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), “Mempercepat Pelaksanaan, Memperhebat Reformasi”, JAKIM mengambil pendekatan proaktif melalui pelaksanaan program secara turun padang bagi memenuhi undangan penganjuran, di samping memperkukuh jaringan kerjasama strategik bersama agensi kerajaan dan badan-badan berkanun, khususnya penganjur utama program tahunan ini, Perbadanan Putrajaya (PPj). Penyertaan ini bertujuan mempromosi serta menjual buku-buku terbitan JAKIM secara lebih terbuka, inklusif dan dekat dengan masyarakat.

Pendekatan bertemu pelanggan ini bukan sahaja memperluas capaian promosi bahan terbitan JAKIM, malah memperkukuh peranan JAKIM sebagai pemudah cara penyampaian ilmu yang relevan, berautoriti dan mudah diakses oleh masyarakat pelbagai lapisan. Sepanjang empat hari berkampung di Dataran Putrajaya, program ini telah mencatat pencapaian memberangsangkan apabila hampir 200 unit buku berjaya dijual, dengan jumlah pengunjung melebihi 500 orang serta hasil jualan melebihi RM1,000. Pencapaian ini turut menyumbang kepada lonjakan 180% prestasi hasil jualan buku (RM) dan 390% (unit) secara keseluruhan bagi bulan Januari 2026 berbanding Januari 2025. Secara tidak langsung, pencapaian ini bukan sahaja mencerminkan pulangan wajar kepada kerajaan melalui pengoptimuman hasil jualan dan keberkesanan strategi promosi, malah memastikan manfaat ilmu daripada bahan terbitan JAKIM dapat disalurkan secara berterusan kepada masyarakat sebagai pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan.

Bagi menyemarakkan lagi penyertaan pengunjung, pelbagai inisiatif interaktif turut dilaksanakan termasuk pemilihan lima pemenang Pembeli Buku Bertuah serta dua pemenang Anugerah Pembeli dengan Nilai Pembelian Tertinggi sepanjang program berlangsung. Keseluruhan pencapaian ini mencerminkan penerimaan positif masyarakat terhadap bahan terbitan JAKIM, sekali gus mengukuhkan komitmen berterusan JAKIM dalam memasyarakatkan ilmu dan membudayakan amalan membaca berteraskan nilai Islam yang sahih dan berkualiti.

Terus menyokong Kedai Buku JAKIM. Semoga inisiatif ini terus memberi impak nyata kepada perkhidmatan awam dan menyumbang kepada kebaikan serta kemajuan negara. Insya-Allah.

EBJ 2 2026 1

EBJ 2 2026 2

EBJ 2 2026 3

EBJ 2 2026 4

EBJ 2 2026 5

EBJ 2 2026 6

EBJ 2 2026 7