KUALA LUMPUR & PUTRAJAYA, 12 Februari 2026 – Ekspo Buku JAKIM terus memacu langkah dinamik dalam memperkukuh agenda pembudayaan ilmu melalui Program Multaqa Madani Ulama - Umara Peringkat Zon Tengah yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur serta Konvensyen Gagasan Pemikiran Allahyarham Dr. Abdul Hayei Abd Sukor: Mendepani Tafsir Pedoman Muttaqin yang diadakan di Hotel Dorsett Putrajaya.
Kerjasama strategik antara Bahagian Penerbitan dan Bahagian Dakwah serta Bahagian Penyelidikan JAKIM ini mencerminkan komitmen berterusan Jabatan dalam mendekati pelbagai segmen masyarakat merangkumi golongan ulama, umara, akademia dan masyarakat awam melalui pendekatan turun padang yang lebih inklusif serta strategik. Selaras dengan tema perkhidmatan awam, “Mempercepat Pelaksanaan, Memperhebat Reformasi”, JAKIM mengambil pendekatan proaktif bagi memperluas jaringan kerjasama dan memperkukuh kehadiran jenama Kedai Buku JAKIM dalam platform wacana ilmu berimpak tinggi.
Melalui reruai promosi yang disediakan, pelbagai judul terbitan JAKIM diketengahkan khususnya karya tafsir, dakwah, kepimpinan dan pembangunan sahsiah berteraskan sumber yang sahih serta berautoriti. Pendekatan bertemu pelanggan pada kali ini bukan sahaja meningkatkan keterlihatan bahan terbitan JAKIM, malah memperkukuh peranan JAKIM sebagai pemudah cara penyampaian ilmu yang relevan dan mudah diakses oleh masyarakat pelbagai lapisan.
Sepanjang program berlangsung, hampir 100 unit buku berjaya dijual dengan jumlah hasil melebihi RM2,000. Pencapaian ini membuktikan keberkesanan strategi promosi secara lapangan yang lebih dinamik dan berimpak tinggi dalam memperluas capaian pasaran berbanding pendekatan pasif di premis jualan di pejabat semata-mata. Inisiatif ini secara tidak langsung membantu mengukuhkan pulangan hasil kepada kerajaan, sambil memartabatkan penyebaran ilmu sebagai pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan dan kesejahteraan negara.
Keseluruhan pencapaian ini mencerminkan penerimaan positif masyarakat terhadap bahan terbitan JAKIM, sekali gus mengukuhkan komitmen berterusan Bahagian Penerbitan dalam memasyarakatkan budaya Iqra’ dan membudayakan amalan membaca berteraskan nilai Islam yang sahih dan berkualiti.
Terus menyokong Kedai Buku JAKIM. Ilmu untuk ummah, manfaat berpanjangan untuk negara. Insya-Allah.









