HOTEL PAN BORNEO, PUTATAN, SABAH
Putatan – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melalui Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) telah mengadakan Kursus Pemerkasaan Pegawai Rundingcara Menggunakan Pendekatan Kaunseling Syarie Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 pada 28-30 April 2026 bertempat di Hotel Pan Borneo, Putatan, Sabah. Seramai 41 orang peserta telah menyertai kursus ini terdiri dalam kalangan para pegawai yang terlibat secara langsung di dalam mengendalikan sesi runding cara dan khidmat nasihat dari Pejabat Agama Islam Daerah seluruh negeri Sabah. Kursus ini bertujuan untuk memberikan pendedahan dan kefahaman kepada Pegawai Rundingcara mengenai kepentingan intervensi kerohanian dalam proses sokong bantu klien di samping meningkatkan kemahiran mereka agar lebih profesional dan efisien dalam membantu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi serta menjadikan perkhidmatan ini sebagai rujukan utama dalam masyarakat dan komuniti setempat.
Sepanjang kursus yang berlangsung selama 3 hari 2 malam ini, para peserta telah didedahkan dengan penggunaan Manual Kaunseling Syarie yang memfokuskan kepada pendekatan holistik berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah dalam usaha membimbing klien ke arah yang diredhai Allah. Sesi pembelajaran tersebut telah dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Md Noor bin Saper, Pensyarah Kanan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan juga Kaunselor Berdaftar.
Bagi meningkatkan kemahiran di dalam mengendalikan sesi runding cara, para peserta telah diberikan bimbingan berkaitan dengan ilmu berkaitan Asas-asas Kemahiran Kaunseling oleh Puan Yuhaniz binti Mohd Yusop, Pegawai Hal Ehwal Islam dari Kementerian Sumber Manusia yang merupakan Kaunselor Berdaftar. Selain teori, para peserta turut terlibat dalam latihan simulasi dan Latihan Dalam Kumpulan (LDK). Aspek perundangan berkaitan isu-isu kekeluargaan juga turut diberi penekanan melalui slot Diskusi Undang-Undang yang disampaikan oleh Tuan Abdul Hakim bin Bisri, Pegawai Syariah dari Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah.
Majlis Perasmian Penutup telah disempurakan oleh YBrs. Puan Dayang Kamariah binti Ag Yahya Timbalan Pengarah Hal Ehwal Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).
















