PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melalui Bahagian Perundangan Syariah telah menganjurkan Mesyuarat Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan Bilangan 17 pada 16 – 17 April 2026 bertempat di Dewan Syura B, Kompleks Islam Putrajaya.
Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Nor Bee binti Ariffin sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan. Ia juga turut dihadiri oleh ahli iaitu YBhg. Dato’ Seri Dr. Md Yusup bin Che Teh, YBhg. Prof. Emeritus Dato’ Noor Aziah binti Mohd Awal, YBhg. Prof. Dato’ Seri Dr. Noor Inayah binti Ya’akub, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Ahmad Hidayat bin Buang, YBrs. Prof. Dr. Wan Abdul Fattah bin Wan Ismail, YBrs. Dr. Roziana binti Mat Amin, Puan Rodziah binti Muhammad serta dari Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
Mesyuarat kali ini membincangkan mengenai Kertas Cadangan Penggubalan Draf Kaedah-Kaedah Hibah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Caj dan Fi) 2026 dan Kertas Cadangan Penggubalan Draf Kaedah-Kaedah Wasiat Orang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Caj dan Fi) 2026 yang dibentangkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Bahagian Perundangan Syariah telah membentangkan Kertas Laporan Majlis Dialog Perundangan Islam Kebangsaan 2025 dan Draf Rang Undang-Undang Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Doktrin Atau Kepercayaan Agama Dalam Kalangan Orang Islam.



