KUALA LUMPUR, 24 Jun 2026 : Mengambil semangat kebersamaan dan madrasah ukhuwwah dalam bulan Muharram 1448H, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, JAKIM dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Wilayah Persekutuan, Pejabat Pentadbiran Masjid/Surau Zon 3 JAWI dan Masjid Al-Imam As-Shafie (MAIAS) telah berjaya menganjurkan Program Terapi Psikospiritual Islam Klien AADK bertempat di Masjid Al-Imam As-Shafie, Taman Maluri, Kuala Lumpur.
Program yang memasuki siri keempat bagi tahun 2026 ini dimulai dengan majlis perasmian program yang telah dirasmikan oleh YBrs. Tuan Syed Abdullah bin Syed Nordin, Ketua Pegawai Tadbir Agama, Pejabat Pentadbiran Masjid/Surau Zon 3 JAWI dan turut dihadiri bersama YBrs. Puan Norihan binti Zakaria, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti JAKIM, YBrs. Tuan Hisral Zirhan bin Md Zahari, Naqib Masjid Al-Imam As-Shafie dan barisan AJK Masjid Al-Imam As-Shafie serta barisan urus setia dari JAKIM dan AADK Wilayah Persekutuan.
Program diteruskan dengan slot Tahsin Surah Al-Fatihah serta Solat Sunat Taubat dan Solat Sunat Dhuha secara berjemaah dan disusuli dengan slot 1: Terapi Zikir dan Makrifatun Nafs dan slot 2: Tahsin Thoharah dan Rawatan Diri melalui Ilaj Syarie yang dipimpin dan dikendalikan oleh penceramah jemputan, YBrs. Ustaz Muhamad Musa bin Mustafa Kamal.
Penyertaan peserta seramai 30 orang dalam kalangan Klien AADK yang berada di dalam tempoh pengawasan pihak AADK Wilayah Persekutuan telah hadir mengikuti program dengan jayanya.
Antara objektif utama penganjuran program adalah untuk membimbing dan merawat dalam usaha membantu memulihkan klien dengan menggunakan pendekatan spritual yang komprehensif (integrasi naql dan aql), disamping membantu transformasi diri (tazkiyyatun nafs) klien serta menjadikan institusi masjid sebagai one stop centre atau pusat bimbingan dan pemulihan bagi permasalahan gejala sosial.
Diharapkan dengan adanya program terapi secara berkala ini dapat membantu memulihkan para klien AADK dengan menggunakan pendekatan yang komprehensif disamping mendekatkan jiwa sanubari para peserta dengan institusi masjid yang pastinya memberi nilai tambah dalam program berbentuk kerohanian tersebut.




<