29 JUN 2026 / 13 MUHARAM 1448H I PUNCAK ALAM SELANGOR, Satu lagi langkah strategik ke arah memperkukuh kesejahteraan ummah dengan kolaborasi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta Masjid Puncak Alam berjaya mewujudkan KSKCareCentre (KSKCC) Masjid Puncak Alam Selangor.
Dalam usaha memperkukuh ekosistem kesejahteraan ummah secara lebih menyeluruh dan berimpak tinggi, satu lagi langkah signifikan berjaya direalisasikan menerusi perasmian dan peluncuran KSKCareCentre di Masjid Puncak Alam sebagai pusat intervensi komuniti yang memfokuskan kepada khidmat nasihat, bimbingan dengan pendekatan integrasi Kaunseling Syarie, Psikospiritual Islam dan `Ilaj Syarie berteraskan ajaran al-Quran dan al-Sunnah serta amalan Ahli Sunnah wal Jamaah.
Majlis perasmian dimulakan dengan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh YBhg. Prof. Dr. Syeikhul Maqari’ Ustaz Haji Othman bin Hamzah, Ahli Lembaga Penasihat Masjid Puncak Alam, manakala ucapan dan gimik perasmian disempurnakan oleh YBrs. Puan Rabihah binti Ibrahim, Timbalan Pengarah (Operasi) JAIS. Selain itu, turut hadir bersama adalah Puan Hazizah binti Yusoff, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK) JAKIM, Encik Jafri bin Abdullah, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-Undang Keluarga JAIS, Prof. Dr. Che Zarrina Sa’ari, fasilitator psikospiritual Islam, Ahli Jawatankuasa Kawal Selia KSKCC, Ketua Pegawai Rundingcara, Para Fasilitator KSKCC, Pegawai dan Kakitangan JAIS serta Masjid Puncak Alam.
Penubuhan dan peluncuran ini membawa aspirasi besar dalam menyediakan pusat khidmat nasihat yang selamat, profesional dan mesra masyarakat, khususnya dalam membantu individu, pasangan, keluarga serta komuniti yang berhadapan dengan pelbagai cabaran kehidupan merangkumi aspek kekeluargaan, kesejahteraan emosi, pembangunan sahsiah serta isu-isu sosial semasa.
Inisiatif ini juga selari dengan agenda nasional dalam memperkasa institusi keluarga dan komuniti melalui usaha menangani peningkatan isu sosial, konflik rumah tangga serta cabaran kesihatan mental yang semakin memerlukan perhatian serius dan intervensi bersepadu.
KSKCC hadir bukan sekadar sebagai pusat khidmat nasihat, tetapi sebagai platform membina masyarakat yang lebih sejahtera, berdaya tahan dan dipandu dengan pendekatan psikospiritual Islam yang berteraskan rahmah, hikmah dan keseimbangan insan. Diakhir majlis para hadirin dibawa melawat lokasi KSKCC Masjid Puncak Alam. Semoga pewujudan KSKCC ini menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan komuniti yang lebih kuat, harmoni dan sejahtera.
“Kami Sedia Membantu, Tangan Dihulur, Bimbingan Disalur.”




<