20 Jun 2026M / 4 Muharam 1448H, Kuala Kubu Bharu – Seramai 207 orang pelajar telah diraikan dalam Majlis Khatam Hafazan al-Quran Program Pensijilan Tahfiz JAKIM Tahun 2026 sebagai tanda penghargaan atas usaha gigih dan kejayaan mereka menamatkan hafazan 30 juzu’ al-Quran.
Majlis penuh bermakna ini telah berlangsung di Dewan Muktamar, Darul Quran JAKIM dan menghimpunkan para pelajar daripada Program Pensijilan Tahfiz al-Quran Darul Quran JAKIM.
Institusi yang terlibat ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), University of Cyberjaya (UoC), Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam (IPGKPI), Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) dan Management and Science University (MSU).
Program ini merupakan inisiatif strategik Darul Quran JAKIM dalam melahirkan generasi huffaz profesional yang mampu mencorakkan pelbagai bidang kerjaya di samping mengekalkan identiti sebagai penghafaz al-Quran.
Majlis ini telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia, Brigedier Jeneral Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Acara dimulakan dengan perarakan para pelajar bersama pensyarah, perasmi dan tetamu kehormat dari Bangunan Pentadbiran ke Dewan Muktamar dalam suasana penuh tertib dan harmoni.
Upacara khatam dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran bermula dari Surah al-Dhuha hingga Surah al-Nas, diikuti dengan ucapan wakil pelajar, ucapan Pengarah Darul Quran dan ucapan perasmian. Acara kemuncak diteruskan dengan penyampaian sijil khatam dan anugerah kecemerlangan kepada pelajar serta pensyarah terpilih.
Anugerah Pensyarah Tasmik Cemerlang telah disampaikan kepada Ustaz Haji Huzaifah bin Haji Jalal Asnawi dan Ustazah Fatimah Aliah binti Asaad sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan dedikasi mereka dalam membimbing para pelajar sepanjang proses hafazan dan tasmik al-Quran.
Bagi Anugerah Penulisan al-Quran Terbaik, Sdr. Muhamad Izzi bin Mukhali telah dinobatkan sebagai penerima kategori banin, manakala kategori banat telah dianugerahkan kepada Sdri. Aufa Zinnirah binti Azman.
Anugerah Khas Pelajar Khatam Lebih Dari Sekali pula telah diberikan kepada 15 orang pelajar sebagai penghargaan atas keistiqamahan dan kecemerlangan mereka mengulangi hafazan al-Quran.
Penerima anugerah tersebut ialah:
1. Sdri. Aimi binti Hapizorr Rozi
2. Sdr. Muhammad Muaz al-Amin bin Almubaraq
3. Sdr. Adam bin Ahmad Syazili
4. Sdri. Rifqah Madeeha binti Mohammad Noor Azam
5. Sdri. Nurul Iman ‘Alya binti Mohammad Faizal
6. Sdri. Nurul Arifah Qahirah binti Mohd Sasrin al-Kadri
7. Sdri. Maryam Nadhirah binti Muhamad Munawer
8. Sdri. Durratuainnur binti Khairul Anuar
9. Sdri. Husna Nadiah binti Nizam
10. Sdri. Aina Umairah binti Muhd Syawalluddin
11. Sdri. Nur Asiah Maisarah binti Abu Bakar
12. Sdri. Zulaikha binti Muhamaad Faizal
13. Sdri. Alia Maisarah binti Mat Taupit
14. Sdri. Farah Aqilah binti Mohamad Sabri
15. Sdri. Nur Saafiya Balqis binti Mat Lazim
Anugerah Pelajar Cemerlang pula telah dianugerahkan kepada Sdr. Muhammad Muaz al-Amin bin Almubaraq bagi kategori banin dan Sdri. Aimi binti Hapizorr Rozi bagi kategori banat sebagai pengiktirafan terhadap prestasi cemerlang mereka dalam hafazan dan akademik sepanjang mengikuti Program Pensijilan Tahfiz JAKIM.
Majlis ini bukan sahaja meraikan pencapaian para pelajar, malah menjadi simbol kesepaduan antara institusi pengajian tinggi dalam menjayakan agenda melahirkan insan berilmu, beriman dan berintegriti selaras dengan tuntutan al-Quran.






