BESUT, 6 Julai - Sebuah keluarga yang sakinah lahir dari kepimpinan yang berteraskan taqwa, kasih sayang yang dipupuk dengan hikmah dan tanggungjawab yang dipikul dengan amanah. Namun, di sebalik kemajuan teknologi yang pesat, ibu bapa hari ini berdepan pelbagai cabaran, daripada ancaman dunia digital hinggalah tekanan kos sara hidup yang semakin menghimpit. Menyedari hakikat itu, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK), JAKIM bersama Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Besut telah menganjurkan Seminar Papa Qawwam Mama Awesome yang menghimpunkan seramai 250 penjawat awam sekitar Pantai Timur bagi memperkukuh kemahiran keibubapaan dan ilmu rumah tangga.
Melalui perkongsian dan sesi interaktif dengan pendekatan santai yang disampaikan oleh dua orang Penolong Pengarah Kanan JAKIM yang juga merupakan kaunselor berdaftar iaitu Puan Yuhaniz binti Mohd Yusop dan Encik Mohamad Fadhli bin Ahmat, para peserta didedahkan kepada konsep suami qawwam serta peranan isteri sebagai pasangan yang saling melengkapi dalam mengemudi bahtera rumah tangga. Seminar ini turut membekalkan ilmu dan panduan keibubapaan yang praktikal bagi memperkasa institusi keluarga dan melahirkan generasi yang berakhlak, berdaya tahan dan mampu menjadi pewaris ummah pada masa hadapan.
Perasmian seminar telah disempurnakan oleh YBhg. Brigedier Jeneral Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM. Turut hadir, YBrs. Puan Hazizah binti Yusoff, Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian KSK dan YBrs. Tuan Ruslan bin Ibrahim, Pengarah ILIM Kampus Besut. Pameran informatif berkaitan lelaki qawwam dan kemahiran keibubapaan turut menarik perhatian para peserta. Sambutan yang amat memberangsangkan daripada para peserta membuktikan bahawa agenda memperkukuh institusi keluarga terus mendapat tempat di hati masyarakat.
Lebih daripada sekadar sebuah seminar, program ini menjadi ruang untuk peserta bermuhasabah dan memperbaharui tekad dalam memikul amanah sebagai suami, isteri dan ibu bapa. Seminar ini menjadi manifestasi komitmen berterusan Bahagian KSK JAKIM dengan sokongan ILIM Kampus Besut dalam memperkasa institusi kekeluargaan Islam, khususnya memperkukuh peranan lelaki sebagai qawwam yang bukan sahaja memenuhi tanggungjawab nafkah, tetapi menjadi pemimpin yang membentuk sahsiah serta masa depan keluarga.








