Kuala Lumpur, 13 Julai 2026 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melalui Bahagian Perundangan Syariah telah mengadakan Kunjung Hormat ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP). Kunjung Hormat ini diketuai oleh YBrs. Us. Mohd Zaini bin Ramli, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Perundangan Syariah dan disertai lima orang pegawai.
YAA Tn. Hj. Mohd Asri bin Hj. Tahir, Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan telah sudi meluangkan masa bagi mengetuai perbincangan yang antara lain bertujuan mendapatkan pandangan dan maklum balas MSWP berkaitan pelaksanaan prosedur kes-kes faraid di Mahkamah Syariah.
Pertemuan ini dilaksanakan susulan pelbagai isu telah dibangkitkan dalam proses penggubalan Kaedah-Kaedah Pentadbiran Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Faraid), antaranya konflik keutamaan hak dan pertindihan tuntutan harta melibatkan permohonan Sijil Faraid serta pelaksanaan penyelesaian melalui Sulh dan Takharuj dan beberapa isu lain. Maklum balas MSWP ini akan membantu pihak JAKIM dalam memastikan Kaedah-Kaedah Pentadbiran Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Faraid) yang digubal kelak selaras dan selari dengan keperluan semasa dan akan datang.



