HOTEL PERMAI, KUALA TERENGGANU, 19-21 Julai 2026 - Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melalui Bahagian Undang-Undang Keluarga dengan kerjasama Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti (KSK), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menganjurkan Kursus Pengurusan Runding Cara Kekeluargaan Islam dan Kaunseling Syarie Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2026 pada 19-21 Julai 2026 bertempat di Hotel Permai, Kuala Terengganu, Terengganu.
Seramai 43 orang peserta yang telah menyertai kursus ini terdiri dalam kalangan para pegawai yang terlibat secara langsung dalam mengendalikan sesi khidmat nasihat/ runding cara dan khidmat nasihat dari Pejabat Agama Islam Daerah seluruh negeri Terengganu. Kursus ini bertujuan untuk memberikan pendedahan dan kefahaman kepada Pegawai Rundingcara mengenai kepentingan intervensi kerohanian dalam proses sokong bantu klien di samping meningkatkan kemahiran mereka agar lebih profesional dan efisien dalam membantu menyelesaikan permasalahan yang dihadapi serta menjadikan perkhidmatan ini sebagai rujukan utama dalam masyarakat dan komuniti setempat.
Sepanjang kursus yang berlangsung selama 3 hari 2 malam ini, para peserta telah didedahkan dengan penggunaan Manual Kaunseling Syarie yang memfokuskan kepada pendekatan holistik berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah dalam usaha membimbing klien ke arah yang diredhai Allah. Sesi pembelajaran tersebut telah dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Md Noor bin Saper, Pensyarah Kanan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan juga Kaunselor Berdaftar.
Bagi meningkatkan kemahiran peserta dalam mengendalikan sesi khidmat nasihat / runding cara, ilmu berkaitan Asas-asas Kemahiran Kaunseling juga telah kongsikan oleh Puan Razidah binti Adam, Mantan Pegawai Hal Ehwal Islam (PHEI), JAKIM. Aspek perundangan berkaitan isu-isu kekeluargaan juga turut diberi penekanan melalui slot Diskusi Undang-Undang yang disampaikan oleh Tuan Muhammad Khasmizan bin Abdullah, Pegawai Syariah dari Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu. Selain itu, para peserta turut dilibatkan dalam latihan simulasi dan Latihan Dalam Kumpulan (LDK).
Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Encik Zahari bin Sulong, Timbalan Pesuruhjaya Operasi, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan berakhir pada jam 1.30 petang.








