Kurator Berita : Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM)

 

Bangi, 31 Januari 2018 – Institut Latihan Islam Malaysia menerusi Kluster Ilmu Teras dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid dan Surau-Surau berdekatan seperti Masjid al-Hasanah, Masjdi al-Mustaqim, Masjid as-Syafiee, Surau al-Ridhwan, Surau Nur Ramadhan, Surau al-Hidayah dan Qariah Penduduk Kampung Datuk Abu Bakar Baginda, Bangi, Selangor telah berjaya menganjurkan suatu Program Cerapan Gerhana Bulan bersempena fenomena Gerhana Bulan Penuh bertempat di ILIM, Bangi Selangor.

Fenomena Gerhana Bulan kali ini dianggap begitu istimewa dan digelar Super Blue Blood Moon Eclipse yang berlaku dalam jangka masa 152 tahun sejak kali terakhir fenomena ini berlaku pada tanggal 31 Mac 1866.

Fasa Gerhana bermula apabila Bulan mula masuk bayang gelap Bumi (Umbra) pada jam 7.50 malam.  Kemudian, Gerhana Bulan penuh mula kelihatan jam 8.22 malam dan kemuncaknya pada jam 8.53 malam. Gerhana Bulan Penuh telah tamat jam 11.10 malam.

Majlis Cerapan yang bermula seawal jam 6.00 petang itu dimanfaatkan dengan pelbagai aktiviti seperti Ceramah Gerhana yang bertajuk “Fenomena Gerhana Dari Sudut Al-Quran dan Sains” oleh Encik Joko Satria, Penyelaras Makmal Astronomi, Pusat PERMATA PINTAR, Universiti Kebangsaan Malaysia dan “Cerapan Langit & Gerhana Bulan oleh Encik Shahrin bin Ahmad dari Portal Falak Inline.

Program Solat Sunat Khusuf dan Khutbah Gerhana dipimpin dan disampaikan oleh Ustaz Mohd Meeftah Anuar, Penolong Pengarah, ILIM.  Seramai 250 orang peserta telah menyertai program ini.

Memetik intisari khutbah yang disampaikan, fenomena gerhana bulan ini boleh dijadikan iktibar dan bukti kekuasaan Allah SWT dalam mengatur perjalanan cakerawala serta mendidik hambanya supaya sentiasa tawaduk.

Katanya, gerhana bulan boleh dilihat secara terus dan ketika berlaku gerhana, umat Islam disarankan melakukan solat sunat dan membaca al-Quran sehingga berakhir gerhana penuh.

"Dengan ini kita lihat bahawa proses intergrasi antara aktiviti sains dan agama menunjukkan bahawa Islam tidak mengenepikan sains dan apabila sains itu dilaksanakan dengan syariat, ia menunjukkan satu benda yang agak baik dalam kehidupan kita," Benarlah maksud firman Allah swt dalam surah Yasin ayat 39: “Dan Bulan pula kami takdirkan ia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya – (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering”.

cerapan bulan1

cerapan bulan2

cerapan bulan3

cerapan bulan4

cerapan bulan5

cerapan bulan6

cerapan bulan7