Judul: Tadabbur Kalamullah 24 Ramadhan 1441H - Bertaqwalah Kepada Allah
Kategori: Artikel
TADABBUR KALAMULLAH 24 RAMADHAN 1441H
BERTAQWALAH KEPADA ALLAH
 
 
 
وَمَن يَتَّقِ اللَّـهَ يَجعَل لَهُ مَخرَجًا * وَيَرزُقهُ مِن حَيثُ لا يَحتَسِبُ ۚ وَمَن يَتَوَكَّل عَلَى اللَّـهِ فَهُوَ حَسبُهُ
 
"Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya)" [Surah at-Talaq 2-3]
 
Bertaqwa dan bertawakkal kepada Allah swt akan memudahkan kita untuk mendapatkan jalan keluar daripada segala permasalahan. Hampir seluruh dunia, umat manusia berjuang melawan serangan Covid-19 yang melanda dengan dahsyat dan semua inginkan musibah ini cepat hilang dan semua pesakit kembali sembuh dengan dilakukan pelbagai kajian dan kaedah penyelesaian.
 
Di samping pelbagai cara digunakan, Allah swt mengatakan di dalam ayatNya yang mulia, hendaklah kita bertaqwa dan bertawakkal kepadaNya dengan sepenuh hati. Oleh itu, sepatutnya kita gandakan lagi ketaqwaan kita dengan melakukan segala yang diperintahNya serta menjauhi segala laranganNya. Disamping itu, meningkatkan pergantungan kita kepada Allah swt dan bersabar atas musibah yang menimpa serta meyakini bahawa pasti ada hikmah dan pahala yang besar dari Allah di sebalik semua ujian ini.
 
 
وَٱصۡبِرُوۤا۟ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِینَ
 
"Dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar" [Surah al-Anfal 46]
 
 
ٱلَّذِینَ إِذَاۤ أَصَـٰبَتۡهُم مُّصِیبَةࣱ قَالُوۤا۟ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّاۤ إِلَیۡهِ رَ ٰ⁠جِعُونَ * أُو۟لَـٰۤىِٕكَ عَلَیۡهِمۡ صَلَوَ ٰ⁠تࣱ مِّن رَّبِّهِمۡ وَرَحۡمَةࣱۖ وَأُو۟لَـٰۤىِٕكَ هُمُ ٱلۡمُهۡتَدُونَ
 
"(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya" [Surah al-Baqarah 156-157]
 
Syaikh Sulaiman ar-Ruhailiy hafizhahullah berkata: "Di antara adab ketika turun musibah adalah hendaknya seseorang berfikir buruk tentang dirinya dengan berkata: 'Mungkin Allah mengujiku dan orang-orang lainnya kerana dosa-dosaku,’ menyebabkan dia pun bertaubat. Dan hendaknya dia berhusnuzhan (berbaik sangka) kepada Allah dan mengetahui bahawa Allah memiliki hikmah di sebalik semua ini. Dan hendaknya dia berhusnuzhan kepada orang lain dengan berkata: ‘Mungkin Allah hendak mengangkat darjat mereka".
 
Tingkatkan dan gandakan keimanan, ketaqwaan dan pergantungan kepada Allah, banyakkan melakukan kebaikan dan ketaatan serta jangan sesekali melakukan kemaksiatan dan perkara yang mengundang kemurkaan Allah. Semoga Allah mengurniakan kepada kita jalan keluar untuk setiap permasalahan. Aamiiin.