Judul: Tadabbur Kalamullah 10 Syawal 1441H - Peringatan Surah Al-Hujurat
Kategori: Artikel
TADABBUR KALAMULLAH 10 SYAWAL 1441H
PERINGATAN SURAH AL-HUJURAT
 
 
 
 
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ لَا تُقَدِّمُوا۟ بَیۡنَ یَدَیِ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ سَمِیعٌ عَلِیمࣱ
 
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan RasulNya; dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui" [Surah al-Hujurat 1]
 
Surah al-Hujurat adalah surah ke 49 daripada 114 surah di dalam al-Quran. Surah al-Hujurat memiliki 18 ayat. Merupakan surah Madaniyyah yang mengandungi manhaj pembentukan dan penyusunan umat beradab. Surah ini mengajar umat Islam tentang tatacara kehidupan yang sepatutnya ada di dalam masyarakat Islam. Mengajar kita bagaimana untuk menghormati orang lain.
 
Surah ke 49 ini diturunkan di Madinah pada tahun ke 9 hijrah selepas Fathul Makkah (Pembukaan Kota Mekah). Selepas Nabi saw membuka Kota Mekah pada tahun ke 8 Hijrah, tahun ke 9 dikenali dengan 'Tahun Delegasi atau Perutusan' di mana kabilah-kabilah Arab di Semenanjung Arab berpusu-pusu mengutus delegasi untuk menemui Rasulullah saw mewakili kaum mereka. Oleh kerana kabilah-kabilah ini adalah dari kalangan Arab Badwi, maka akhlak mereka adalah amat kasar kerana hidup di persekitaran padang pasir. Maka turunlah surah al-Hujurat meluruskan dan membentuk acuan adab dan akhlak terhadap pemimpin terutama terhadap Rasulullah saw. (Ibn Mardawaih dan al-Baihaqi daripada Ibn Abbas r.huma)
 
Sayyid Qutb dalam tafsirnya menulis dengan amat indah mengenai muqaddimah surah al-Hujurat: "Umat contoh yang hebat ini (generasi pertama Islam) tidaklah lahir secara mendadak atau kebetulan atau sekelip mata, tetapi umat contoh ini lahir dalam satu siri proses yg panjang dan bertahap, maka turunnya surah al-Hujurat ini adalah sebahagian dari proses membentuk umat contoh ini hingga lahir sebagai suatu kelompok umat yang paling unggul dalam sejarah kemanusiaan".
 
Di dalam ayat yang pertama ini Allah swt mengingatkan agar kita jangan sesekali mendahului Allah dan Rasul dalam membuat sesuatu keputusan. Dalam erti kata lain, jangan kamu tergesa-gesa (mendahului) memutuskan sesuatu hukum sebelum adanya petunjuk daripada Allah dan Rasul dalam segala hal. Demikian kesimpulan majoriti ulamak antaranya, Imam ad-Dhahak yang menghuraikan:
 
لا تقضواْ أمرا دون الله ورسوله من شرائع دينكم
 
"Janganlah kamu memutuskan suatu persoalan yang menyangkut perihal syariat agamamu tanpa Allah dan RasulNya" (Mukhtasar Ibnu Kathir).
 
Selain itu terdapat banyak lagi peringatan penting di dalam surah ini antaranya:
 
1. Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengan baginda (ayat 2).
2. Selidiki suatu khabar berita yang sampai kepada kita (ayat 6).
3. Damaikan saudara yang bersengketa (ayat 9).
4. Hendaklah berlaku adil dalam segala perkara (ayat 9).
5. Jangan mencemuh dan merendah-rendahkan orang lain (ayat 11).
6. Jangan mengaibkan sesama kamu (ayat 11).
7. Jangan memanggil (melabel) seseorang dengan gelaran yang buruk (ayat 11).
8. Jauhi dari bersangka buruk (ayat 12).
9. Jangan mengintip-intip dan mencari-cari kesalahan orang lain (ayat 12).
10. Jangan mengumpat (ayat 12)
11. Hendaklah berkenal-kenalan dan beramah mesra antara satu dengan yang lain (ayat 13).
12. Ketinggian nilai taqwa (ayat 13).
13. Hakikat keimanan (ayat 14-18)
 
Walaupun surah ini hanya mengandungi 18 ayat, namun pengajarannya sangat padat dan padu dalam membentuk kehidupan kita sebagai seorang muslim yang benar--benar beriman dan berakhlak Islam.
 
Selamat membaca, memahami, mengkaji dan mentadabbur surah ini dengan penuh teliti. Jika kita benar-benar mempelajari, memahami dan mengamalkan isi kandungan surah al-Hujurat ini, nescaya akan lahir keindahan dan keharmonian dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara.