Judul: Tadabbur Kalamullah 21 Syawal 1441H - Amalkan Baca Ayatul Kursi
Kategori: Artikel
TADABBUR KALAMULLAH 21 SYAWAL 1441H
AMALKAN BACA AYATUL KURSI
 
 
ٱللَّهُ لَاۤ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ ٱلۡحَیُّ ٱلۡقَیُّومُۚ لَا تَأۡخُذُهُۥ سِنَةࣱ وَلَا نَوۡمࣱۚ لَّهُۥ مَا فِی ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَمَا فِی ٱلۡأَرۡضِۗ مَن ذَا ٱلَّذِی یَشۡفَعُ عِندَهُۥۤ إِلَّا بِإِذۡنِهِۦۚ یَعۡلَمُ مَا بَیۡنَ أَیۡدِیهِمۡ وَمَا خَلۡفَهُمۡۖ وَلَا یُحِیطُونَ بِشَیۡءࣲ مِّنۡ عِلۡمِهِۦۤ إِلَّا بِمَا شَاۤءَۚ وَسِعَ كُرۡسِیُّهُ ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضَۖ وَلَا یَـُٔودُهُۥ حِفۡظُهُمَاۚ وَهُوَ ٱلۡعَلِیُّ ٱلۡعَظِیمُ
"Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Yang tidak mengantuk usahkan tidur. Yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Tiada sesiapa yang dapat memberi syafaat (pertolongan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya). Luasnya Kursi Allah (ilmuNya dan kekuasaanNya) meliputi langit dan bumi; dan tiadalah menjadi keberatan kepada Allah menjaga serta memelihara keduanya. Dan Dia lah Yang Maha Tinggi (darjat kemuliaanNya), lagi Maha Besar (kekuasaanNya)".
[Surah al-Baqarah 255]
 
Membaca dan mengamalkan ayat al-Kursi mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Hal ini kerana ayat al-Kursi merupakan antara ayat yang paling agung di dalam al-Quran.
 
Sabda Rasulullah saw: "Wahai Abul Mundzir, ayat apakah dari kitab Allah yang ada bersamamu yang paling agung?”. Aku menjawab: “Allahu laa ilaha illa huwal hayyul qayyum”. Lalu baginda menepuk dadaku dan berkata: “Semoga engkau mudah memperoleh imu, wahai Abul Mundzir”.
(HR Muslim)
 
Berkata Imam as-Son’ani mengenai kelebihan dan keagungan ayat al-Kursi: "Kelebihan ayat al-Kursi ini adalah disebabkan padanya terhimpun segala usul nama-nama dan sifat-sifat Allah seperti Wahdaniyyah (Maha Esa), al-Hayah (Maha Hidup), al-Qayyumiyyah (Maha Kekal), al-‘Ilm (Maha Mengetahui), al-Mulk (Maha Menguasai), al-Qudrah (Maha Berkuasa) dan juga al-Iradah (Maha Berkehendak)”.
(Lihat: Subulus Salam)
 
Beberapa kaedah dan waktu pengamalan Ayatul Kursi:
 
1. Dibaca di waktu pagi dan petang.
Daripada Sayidina Ubay bin Ka’ab r.a, Nabi saw bersabda: "Siapa yang membacanya ketika waktu petang, maka ia akan dilindungi (oleh Allah dari berbagai gangguan) hingga ke waktu pagi. Siapa yang membacanya ketika waktu pagi, maka ia akan dilindungi (oleh Allah dari berbagai gangguan) hingga ke waktu petang.”
(HR al-Hakim. Sahih)
2. Setiap kali selepas selesai solat 5 waktu.
Sabda Nabi saw: “Siapa membaca ayatul Kursi setiap kali selesai solat, tidak ada yang menghalanginya masuk syurga selain kematian".
(HR an-Nasaie. Sahih)
Maksudnya, tidak ada yang menghalanginya masuk syurga ketika mati.
3. Dibaca sebelum tidur.
Sayidina Abu Hurairah mengadu kepada Nabi tentang seseorang yang mengajar padanya ayat Kursi. Abu Hurairah berkata: "Wahai Rasulullah, ia mengaku bahawa ia mengajarkan suatu kalimah yang Allah beri manfaat padaku jika membacanya. Sehingga aku pun melepaskan dirinya.” Nabi saw bertanya: “Apa kalimah tersebut?” Abu Hurairah menjawab: “Ia mengatakan padaku, jika aku hendak pergi tidur di katil, hendaklah membaca ayatul kursi hingga selesai iaitu bacaan ‘Allahu laa ilaha illa huwal hayyul qayyum’. Lalu ia mengatakan padaku bahawa Allah akan sentiasa menjagaku dan syaitan pun tidak akan mendekatimu hingga pagi hari. Dan para sahabat lebih semangat dalam melakukan kebaikan". Nabi saw pun bersabda: “Adapun dia di ketika itu berkata benar, namun asalnya dia pendusta. Engkau tahu siapa yang bercakap denganmu sampai tiga malam itu, wahai Abu Hurairah?” “Tidak”, jawab Abu Hurairah. Nabi saw berkata: “Dia adalah syaitan”.
(HR al-Bukhari)
 
Jom amalkan bacaan Ayatul Kursi, semoga kita sentiasa terpelihara daripada gangguan Syaitan dan dalam naungan rahmat ilahi. Aamiiin.